Penggunaan jata, nama Melaka perlu dapat kelulusan, kata Ketua Menteri

Penggunaan jata, nama Melaka perlu dapat kelulusan, kata Ketua Menteri

Penggunaan jata dan nama negeri Melaka oleh penganjur program atau mana-mana pihak perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengawal pelaksanaan program di negeri ini oleh pihak penganjur terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi swasta bagi mengelak kekeliruan masyarakat tentang program anjuran kerajaan negeri.

“Misalnya mereka melaksanakan program di Melaka menggunakan jata negeri oleh itu masyarakat menganggap bahawa itu adalah program anjuran kerajaan negeri seterusnya mengakibatkan salah faham.

Adly Zahari

“Kita mengarahkan mereka untuk mendapatkan kelulusan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri agar kita maklum mengenai (inti pati) program yang dijalankan,” katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang dikesan menggunakan jata negeri tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Adly berkata meskipun jata berkenaan mudah diperoleh terutama melalui internet namun penggunaannya perlu mendapat kelulusan bagi memastikan tiada isu penyalahgunaan.

“Kita menyambut baik usaha pihak yang ingin mengadakan program di Melaka namun kawalan perlu dilakukan pada peringkat awal agar (jata dan nama Melaka) tidak disalahgunakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah menaik taraf Kolam Air Panas Jasin yang terletak di Bemban diharap dapat menarik 30 peratus pelancong asing untuk berkunjung ke lokasi berkenaan.

Katanya satu jawatankuasa akan dibentuk melibatkan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

“Antara fasiliti yang dirancang termasuk menyediakan penginapan untuk keluarga dan individu. Bagaimanapun, jumlah peruntukan masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Kolam Air Panas Jasin menerima 14,000 pengunjung tahun lepas dan dijangka jumlah itu mampu ditingkatkan bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019.– BERNAMA