Penggunaan perkataan ‘monyet’ di vest satu penghinaan, kata Lee Lam Thye

Penggunaan perkataan ‘monyet’ di vest satu penghinaan, kata Lee Lam Thye

Pendekatan penggunaan perkataan ‘monyet’ pada vest dipakai individu didenda bagi melakukan kerja amal mengutip sampah adalah tidak sesuai dan menjurus kepada satu bentuk penghinaan.

Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye berkata biarpun hukuman itu mempunyai niat baik untuk mendidik pelaku yang suka membuang sampah sesuka hati serta mencegah pihak lain melakukan perkara sama, ia satu tindakan yang keterlaluan.

“Dalam hal ini, yang menjadi keutamaan adalah untuk memberi kesedaran kepada pesalah dengan menimbulkan rasa malu apabila mereka diwajibkan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

“Namun ia tidak bermakna mereka perlu berhadapan dengan satu bentuk penghinaan disamakan sebagai haiwan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar apabila seramai 12 individu di Semporna, Sabah dikenakan denda untuk melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai vest tertulis perkataan ‘monyet’ pada Khamis lepas.

Beliau berkata hukuman berbeza terhadap kumpulan tertentu menunjukkan terdapat unsur diskriminasi dalam pelaksanaan undang-undang yang dilaksanakan sejak 1 Jan lepas.

Undang-undang yang dilaksanakan menyatakan pemakaian vest itu hanya tertakluk kepada pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), masyarakat Pala’u dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang suka membuang sampah sesuka hati.

Rakyat tempatan dan pelancong asing dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti Kutu Sampah jika berbuat demikian.

Katanya pihak berkuasa tempatan sepatutnya menggunakan pendekatan lebih sesuai dan berhemah seperti menggunakan ayat bersifat mendidik pada vest yang dipakai pesalah.

Beliau turut mengggesa Akta Vandalisma diperkenalkan agar hukuman khidmat masyarakat diwajibkan manakala hukuman rotan dikenakan terhadap pesalah tegar.

“Khidmat masyarakat adalah cara yang lebih berkesan untuk memerangi vandalisma berbanding hukuman lain terutamanya kompaun atau denda,” katanya.