Malaysia Dateline

Penggunaan senjata api bertujuan mengawal populasi anjing dibenarkan mengikut akta

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memaklumkan, secara amnya, penggunaan senjata api bagi maksud kawalan populasi anjing oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau pihak berkuasa yang lain adalah dibenarkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Beliau menjelaskan, bagi proses pemusnahan haiwan, ianya perlu mematuhi peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015 seperti yang dinyatakan dalam akta kebajikan berkenaan.

“Seksyen 30 (1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh membunuh dengan menembak dengan senjata api mana-mana anjing, kucing atau mana-mana haiwan lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta, melainkan jika dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam kecemasan atau bagi maksud kawalan penyakit.

“Seksyen 30 (2) (e) menjelaskan bahawa pembunuhan mana-mana haiwan adalah dilarang melainkan jika pembunuhan itu dilakukan bagi maksud kawalan populasi haiwan oleh mana-mana pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

“Dalam pada itu, kementerian saya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 19 Februari lalu telah mengemukakan surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ia adalah mengenai kebenaran untuk memusnahkan mana-mana haiwan dengan menggunakan senjata api bagi tujuan kawalan populasi oleh pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah undang-undang bertulis,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di Dewan Rakyat, hari ini.

Noor Azm (PH-Bagan Serai) meminta Salahuddin (PH-Pulai) menyatakan apakah penggunaan senjata api dalam kawalan populasi anjing oleh MBI baru-baru ini, dan mungkin juga oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain dalam pengetahuan Menteri dan diluluskan oleh Lembaga Kebajikan Haiwan.

Video berdurasi 1 minit 39 saat itu menunjukkan seorang penguatkuasa MBI mengacukan selaras senapang ke arah seekor anjing sebelum melepaskan tembakan.

Kejadian berlaku pada 22 Mei lepas sekitar jam 10 pagi dan video dirakam penduduk perumahan itu telah dikongsi di WhatsApp dan Facebook sehingga mendapat lebih 3,600 perkongsian.

MBI dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima aduan berulang berkaitan banyak anjing berkeliaran di kawasan itu.