Malaysia Dateline

Penghadang dibakar, kawat duri punah akibat ‘laluan tikus’ ditutup

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerusi Facebook rasminya hari ini berkata, penghadang dan kawat duri di sempadan daerah itu dan Pasir Puteh, Kelantan telah dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut IPD Besut masyarakat sudah sepatutnya faham betapa pentingnya untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Namun begitu, apa yang mengecewakan serta menyedihkan, masih terdapat mereka yang masih lagi berdegil, keras kepala dan seakan tidak ambil kisah dan ambil tahu mengenai arahan PKP yang dikuatkuasakan.

“Individu yang tidak bertanggungjawab telah membakar penghadang dan kawat duri yang telah didirikan oleh pihak polis.

“Mereka seolah-olah memberontak kerana “laluan tikus” yang biasa mereka lalui telah pun ditutup sepenuhnya di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Puteh, Kelantan,” katanya.

Penghadang dipercayai dibakar lewat malam tadi.

Untuk rekod, Terengganu setakat semalam menjadi negeri kedua tertinggi kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) iaitu 1.26 melebihi purata kebangsaan 1.14 manakala Kelantan mencatatkan RO 0.98.

Sehubungan itu, pihak IPD Besut dengan kerjasama JKR daerah telah meletakkan penghadang batu bagi memastikan laluan ini tidak dialihkan pada masa akan datang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian merosakkan harta kerajaan, boleh terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Besut di talian 09-695 9999,” tambahnya lagi.

Penghadang batu diguna selepas penghadang dan kawat duri dirosakkan di sempadan Besut – Pasir Puteh.