Malaysia Dateline

Penghakiman yang dibuat perlu dihormati, kata Hanipa Maidin

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, sekiranya dikesan terdapat “kesilapan” pada penghakiman yang dibuat oleh seseorang hakim atau majistret, tempat yang betul untuk diketengahkan adalah pada forum perundangan.

Sementara itu kata beliau, penghakiman yang telah dibuat oleh sebarang hakim atau majistret perlu dihormati sebagaimana selayaknya.

Hanipa berkata demikian dalam satu kenyataan semalam, mengulas isu hukuman yang dikenakan ke atas seorang pembantu stor yang digelar ‘Abang Botak’ oleh warganet yang kini tular diperdebatkan di media sosial.

Lelaki berkenaan, Danial Abdullah Tan, 31 telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Majistret Nur Shahira Abdul Salim di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Mei lalu atas kesalahan memecahkan cermin kereta seorang wanita.

Kebanyakan warganet menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas Danial terlalu berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

Jelas Hanipa, beliau tidak mahu mengulas mengenai hukuman yang dikenakan itu tetapi menurutnya, matlamat sebarang hukuman yang dikenakan adalah sebagai suatu mekanisme untuk mengajar dan merubah pesalah.

Hal sedemikian katanya lagi memang kerap menjadi perdebatan yang panjang dalam kalangan pengamal undang-undang.