Malaysia Dateline

Penghantar makanan dikompaun, ‘ikan jerung’ ingkar PKP terlepas tindakan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyelar tindakan mengenakan kompaun terhadap sekumpulan belia penghantar makanan ketika golongan kenamaan (VIP) bebas berkumpul ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, rakyat bukanlah terlalu mempertikaikan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan PKP sebaliknya sikap pilih bulu dan kurangnya budi bicara yang bijaksana oleh pihak berkuasa.

“Ramai VIP yang berkumpul tanpa mematuhi penjarakan sosial, dan tidak memakai pelitup muka secara terbuka tanpa tindakan atau amaran pun.

“Anak muda Foodpanda yang mendapat RM3 hingga RM5 satu hantaran (makanan) tidak mempunyai pejabat dan ada yang tinggal jauh dari tempat mereka bertugas di Kuala Nerus untuk pulang ke rumah sendiri pula ditahan,” katanya.

Kamarul berharap pihak berkuasa dapat menggunakan budi bicara yang sewajarnya sebelum mengeluarkan kompaun.

Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu itu berkata, lebih ironi tindakan kompaun itu berlaku di Parlimen Kuala Nerus dengan wakil rakyatnya bertaraf menteri bergaji puluhan ribu ringgit telah terlibat dalam insiden tidak kuarantin selepas pulang dari Turki.

Tegasnya, Datuk Dr Mohamad Khairuddin Aman Razali tidak dikenakan tindakan sewajarnya oleh kerajaan sehinggalah dibongkar di Parlimen dan mendapat tekanan dari rakyat.

“Insiden saman RM5,000 ke atas lima rider Foodpanda ini sekali lagi menunjukkan polisi antara dua darjat di mana hanya ikan bilis yang kecil di hukum sementara ikan jerong terus terlepas tindakan.

“Ianya boleh diibaratkan membunuh nyamuk dengan bedil dan memburu gajah dengan jarum,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada Kapten Foodpanda Terengganu, Nik Hafiz, di rumahnya bagi membantu menjelaskan saman tersebut sebelum 17 Februari ini.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan bukan meminta imbuhan percuma atau subsidi.

Sebaliknya, tegas beliau, mereka terbabit hanya mengharapkan sedikit keadilan dan timbang rasa dari kerajaan seorang Perdana Menteri yang mengelar dirinya ‘Abah’.

“Bilakah masanya agaknya pembesar negara dan wakil rakyat boleh menjadi contoh yang boleh dibanggakan oleh anak anak kepada Mak Cik Kiah kita ini?” tambahnya lagi.