Penghantaran balik pelajar IPT Zon Sarawak diteruskan

Oleh MALAYSIADATELINE

Proses penghantaran balik pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon Sarawak diteruskan dengan seramai 622 lagi pelajar telah dihantar pulang menggunakan pesawat semalam.

Pelajar tersebut melibatkan 152 pelajar yang dihantar pulang ke Johor Bahru, Pulau Pinang (154 pelajar), Alor Setar (157 pelajar) dan Terengganu (159 pelajar).

Mereka merupakan sebahagian daripada pelajar yang terkandas di dalam kampus di IPT masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberi kepercayaan sebagai Koordinator bagi menyelaras pengangkutan untuk program menghantar pulang pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak ke bahagian-bahagian di Sarawak/Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Sebelum dibenarkan menyertai proses penghantaran pulang, para pelajar dikehendaki menjalani saringan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan pelajar adalah dalam keadaan baik sebelum dibenarkan pulang bertemu semula dengan keluarga masing-masing.

Selain terlibat secara langsung dalam proses penghantaran pulang pelajar IPT Zon Sarawak, UNIMAS turut membantu menyelaras pengangkutan pulang ke daerah asal bagi pelajar IPT lain dari Semenanjung dan Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Semalam, seramai 755 pelajar yang tiba di KIA diuruskan pengangkutan oleh UNIMAS untuk ke destinasi seterusnya di dalam negeri ini.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi yang turut menyelia penyelarasan penghantaran pelajar pulang dalam ucapan ringkasnya memberitahu hampir 3,000 pelajar telah dihantar balik setakat ini.

Beliau memaklumkan UNIMAS akan terus mengkordinasikan proses penghantaran pulang pelajar yang dijangka melibatkan beberapa jumlah kumpulan pelajar yang besar dalam minggu ini.

Katanya, UNIMAS akan sentiasa memastikan proses itu berjalan dengan baik mengikut SOP yang ditetapkan dan bekerjasama dengan jabatan kerajaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.