Malaysia Dateline

Pengharaman Paraquat tidak beri kesan besar kos pertanian

Pengharaman racun rumpai Paraquat bermula 1 Januari 2020 tidak akan memberi kesan besar dari segi kos kepada peladang dan petani di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata walaupun Paraquat lebih murah berbanding racun alternatif yang dicadangkan kerajaan seperti glyphosate dan glufosinate-ammonium, Paraquat perlu digunakan lebih kerap berbanding racun alternatif tersebut.

“Paraquat ini selepas disembur setengah jam sudah boleh nampak kesan hitam pada daun dan petani suka sebab kesannya nampak cepat, tetapi akarnya tidak mati dan perlu disembur beberapa kali.

“Racun alternatif lebih mesra alam, walaupun ambil masa dua hingga tiga hari untuk nampak kesan, tetapi ia membunuh sehingga ke akar.

“Jadi gunakan racun alternatif, walaupun nampak lambat ia sangat berkesan dan kos tidak banyak beza,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen pengharaman racun Paraquat, hari ini.

Mengenai kempen tersebut, Salahuddin berkata semua pihak terutamanya petani dan peladang perlu diberi kesedaran mengenai bahaya penggunaan Paraquat kepada kesihatan dan alam sekitar.

Menurutnya, Kabinet membuat keputusan pada 2002 untuk mengharamkan Paraquat bermula tahun depan bagi membolehkan pelbagai kajian dibuat untuk mengurangkan impaknya kepada industri pertanian.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya kementerian turut menghadiri beberapa konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Rotterdam, Brussels dan Stockholm bagi meneliti semua resolusi yang dibincangkan sebelum mengambil langkah perlu ke arah pengharaman sepenuhnya racun tersebut.

“Kerajaan juga telah mengehadkan penggunaan Paraquat kepada empat jenis tanaman sahaja iaitu getah, kelapa sawit berumur bawah dua tahun, padi bukit dan untuk membunuh tunggul nanas,” katanya.

Susulan pengharaman racun tersebut, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan membuat pemantauan di semua pintu masuk negara bagi memastikan Paraquat tidak diseludup masuk ke Malaysia, katanya.

Salahuddin berkata sebarang penggunaan Paraquat bermula tahun depan adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan pengguna boleh didenda sehingga RM10,000 bagi kesalahan pertama dan RM50,000 untuk kesalahan kedua.

Paraquat adalah racun rumpai yang bertindak secara sentuhan dan menjadi pilihan utama petani kerana mudah didapati dengan kos murah.

Bagaimanapun, racun itu berbahaya kepada manusia kerana boleh menyebabkan iritasi pada mata dan kulit selain sesak nafas, kehausan, tekanan darah meningkat, kegagalan buah pinggang, kerosakan paru-paru dan hati serta kematian jika terminum.