Penghuni PPR rosakkan kereta, berang pemandu tersalah parkir – “Amaran pertama”

Oleh WAN SITI AMINAH

Akibat tersalah meletakkan kenderaan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kereta milik seorang lelaki dijadikan sasaran oleh individu tidak bertanggungjawab.

Selain harus menanggung kerugian kerana kereta jenis Perodua Kancil miliknya telah dirosakkan, lelaki terbabit turut menerima nota amaran dipercayai ditulis oleh pelaku.

Difahamkan, kejadian itu berpunca dari masalah ketiadaan parkir di PPR berkenaan hingga menyebabkan pemuda terbabit terpaksa meletakkan kereta di simpang tiga.

“Saya bukanlah orang kaya, hanya memakai kereta buruk Kancil. Saya menumpang rumah kakak di sebuah PPR (terletak di Selangor) selepas kematian ibu pada dua minggu lepas.

“Jadi saya orang baru di situ. Malam tadi, puas saya mencari parkir kosong (namun tiada). Terpaksa saya masuk parkir di tepi simpang tiga. Cermin sisi kereta saya lipat dan brek tangan diturunkan.

“Sekiranya kenderaan saya menganggu lalu lintas, boleh tolak kereta itu ke depan,” kata pemuda dikenali sebagai Jan Sa’ari itu menerusi satu hantaran tular di platform Facebook.

Keesokan harinya, pemuda terbabit berhasrat untuk mengalihkan kereta sebelum ke tempat kerjanya menggunakan kenderaan lain namun masih tiada lagi ruang kosong.

Alangkah terkejutnya pemuda itu apabila mendapati cermin sisi kereta miliknya telah dipatahkan ketika ingin mengalihkan kenderaan pada waktu malam, hari yang sama.

“Pada pukul 10 malam, saya turun (dari rumah) dengan niat hati mahu mengalihkan kereta. Tetapi tengok keadaan sudah macam ini. Kalaulah saya salah, mungkin boleh bertolak ansur.

“Beritahulah di kumpulan sembang penduduk di aplikasi WhatsApp (PPR berkenaan). Lagipun dalam itu ada kakak, abang ipar dan jiran kampung saya sebagai ahli. Apa patut saya buat ya.

“Sudahlah kereta ini yang saya gunakan untuk berulang alik bawa mak ke hospital sampailah dia pergi (meninggal dunia),” kesal pemuda yang meminta bimbangan mengenai masalah dihadapinya itu.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna memberi cadangan agar pemuda terbabit mengambil tindakan terhadap pelaku dengan melaporkannya kepada pihak polis.

Bukan itu sahaja, ada juga individu bermurah hati mahu membantu pengadu memasangkan semula cermin sisi yang telah dipatahkan oleh pelaku dipercayai penghuni PPR tersebut.

Baca juga: Peniaga durian di Terengganu ini raih perhatian, tawar durian percuma untuk orang single