Penghuni rumah panjang puji usaha murni Khalid bangunkan Taman Rimba Kiara

Penghuni rumah panjang puji usaha murni Khalid bangunkan Taman Rimba Kiara

“Kawan kami telah meninggal dunia minggu lepas.. tak sempat duduk rumah baharu.. sebelum kami meninggal, biarlah kami dapat merasa duduk di rumah baharu itu,” demikian luah A Thangaveloo, warga emas penghuni rumah panjang Bukit Kiara.

Thangaveloo, 63, pada masa sama turut menzahirkan rasa terharu terhadap usaha Menteri Wilayah, Khalid Samad dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang berhasrat membangunkan kawasan itu dengan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) untuk penduduk rumah Panjang.

“Kami sangat gembira dengan berita (pembangunan RUMAWIP) itu.. walaupun mereka baru rancang nak bina, tetapi perancangan itu sudah cukup menggembirakan kami.

Thangaveloo

“Kami juga telah berjuang selama 37 tahun untuk mendapatkan penempatan baharu yang lebih selesa.. sebelum kami berpindah ke sini awal-awal dahulu, menteri yang bertugas ketika itu menjanjikan pembangunan akan dijalankan dalam tempoh 5 tahun.. tetapi tiada sebarang projek dijalankan, sehinggalah Khalid Samad ambil inisiatif bangunkan tempat ini.

“Memang impian kami sejak sekian lama untuk pindah ke rumah baharu.. saya dan kawan-kawan sudah tua.. kami risau tak dapat pindah rumah ini sebelum kami meninggal dunia.. terima kasih diucapkan kepada Khalid Samad dan YWP,” katanya yang merupakan Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Bukit Kiara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline, pada sidang media YWP berhubung Pembangunan Berhampiran Taman Rimba Kiara yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat & Pengurus Kanan Wilayah Media Sdn Bhd, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Perumahan Awam Bukit Kiara, [email protected], 52, berkata, beliau dan rakan-rakannya di rumah panjang telah menderita sejak 1982 dan sememangnya mengharapkan satu perubahan baharu dalam pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, dia sudah duduk di rumah panjang itu sejak umur 14 tahun dan sehingga kini masih menunggu ‘sinar’ pembaharuan walaupun usianya telah mencecah 52 tahun.

“Kalau projek ini mendapat kelulusan di peringkat kabinet, pastinya kami sebagai penduduk berasa sangat gembira.. kami memang ingin menikmati pembaharuan dan suasana baharu di sini.

“Saya juga ingin memuji sikap YB Khalid yang saya lihat memang sangat prihatin terhadap kebajikan penduduk setempat.. walau apa pun, kami masih menunggu harapan untuk melihat rumah baharu dibangunkan di sini,” katanya.

Projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila pada DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega pada April 2017 di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan 1 blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.