Pengiktirafan Baitulmaqdis ibu kota Israel bakal gugat perdagangan dunia

Pengiktirafan Baitulmaqdis ibu kota Israel bakal gugat perdagangan dunia

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kemungkinan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel bakal menggugat kestabilan perdagangan dunia, sekali gus menjejaskan ekonomi dan pertumbuhannya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata tindakan itu dilihat sebagai ancaman terhadap keharmonian hubungan perdagangan antarabangsa serta keselamatan dunia, selain memburukkan lagi konflik dan ketegangan yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Ekonomi kita berkembang dengan baik pada tahun ini antaranya adalah kerana keadaan persekitaran dunia dan rantau yang masih aman, termasuklah di Malaysia.

Langkah ini (pengiktirafan Baitulmaqdis) sudah pasti menaikkan kemarahan seluruh umat Islam. Maka dengan itu, kita (negara-negara Islam) harus bersatu untuk menentang sekeras-kerasnya perkara ini kerana ia akan mendedahkan dunia kepada keadaan yang tidak stabil, katanya.

Mustapa berkata demikian kepada Bernama selepas melawat Laman Media pada Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan akan mengumumkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu Israel itu hari ini dari Rumah Putih di Washington (Malam Khamis waktu tempatan).

Trump juga dikatakan bakal memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Mustapa menjangkakan langkah pengiktirafan tersebut yang telah menimbulkan kebimbangan banyak negara di seluruh dunia akan turut memberi impak kepada kestabilan dan pertumbuhan perdagangan Malaysia.

CATEGORIES