Malaysia Dateline

Pengiktirafan untuk negara, kata Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham

“Pengiktirafan itu bukan untuk saya, tetapi ianya untuk negara.”

Itu reaksi spontan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham apabila ditanya wartawan tentang pengiktirafan terhadap dirinya sebagai antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN).

Susulan pengiktirafan tersebut, Dr Noor Hisham merakamkan penghargaan kepada semua kementerian dan menteri yang telah bekerjasama dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lain-lain yang bertugas mengawal sempadan negara dan pergerakan masyarakat.

“Kami (KKM) memberikan nasihat kepada kerajaan dan semestinya yang membuat keputusan bukanlah saya, tetapi adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin.

“Yang melaksanakan PKP adalah Perdana Menteri. Kami mencadangkan, tetapi beliaulah yang membuat keputusan dan arahan tindakan.

“Apa yang penting ialah kita (KKM) bekerja sebagai satu pasukan,” katanya seperti dipetik menerusi strim langsung sidang media hariannya, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk pasukan kesihatan yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Untuk rekod, Rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) menyenaraikan Dr Noor Hisham antara tiga doktor terbaik dunia dalam kalangan pegawai kesihatan awam yang mengendalikan Covid-19 bersama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat (AS) and Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Dalam laman sesawangnya 13 April lalu, CGTN memilih Dr Noor Hisham antara doktor terbaik di dunia kerana pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia.

Menurut CGTN lagi, beberapa bulan lepas, tidak ramai yang mengenali Dr Noor Hisham dan dua lagi tokoh berkenaan, tetapi kini mereka menjadi sumber maklumat dan fakta paling ‘dipercayai’ bagi pandemik itu di negara mereka.

“Setiap kali saya melihat Dr Noor Hisham, saya merasa yakin. Beliau menjadi tempat bergantung bagi ramai rakyat Malaysia,” menurut CGTN yang memetik wartawan portal tempatan yang menambah bahawa Dr Noor Hisham juga mempunyai ‘wajah dipercayai’.