Malaysia Dateline

Pengikut Syiah melawat Parlimen, tidak menjadikan kita Syiah, jelas Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa lawatan delegasi Iran ke Parlimen, baru-baru ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, sekiranya ada pengikut ajaran Syiah datang ke Bangunan Parlimen bertujuan mengadakan lawatan, ianya dilihat bukan satu masalah.

“Untuk makluman, duta Iran sudah beberapa kali datang. Contohnya macam ini lah, duta Iran melawat Istana untuk mengunjungi Raja kita, adakah itu bermakna Syiah sudah memasuki Istana?

“Apa salahnya kalau mereka datang ke Parlimen? Itu tidak menjadikan kita Syiah hanya kerana ada orang Syiah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Facebook Gerakan Anti Syiah Malaysia memuat naik empat keping gambar Delegasi Iran melawat Bangunan Parlimen beserta kapsyen ‘Semakin rancak Syiah sampai singgah masuk Parlimen’.

Hasil carian di Instagram ‘parlimenmalaysia’, pula, gambar yang sama juga dimuat naik dengan kapsyen, Kunjungan Hormat ke atas YB Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat oleh HE Ahmad Salek, Head of Delegation of Cultural Affairs Committee, Islamic Consultative Assembly of The Islamic of Iran di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat.