Malaysia Dateline

Pengilang boleh mohon permit, tiada lagi monopoli import gula

Pengilang Makanan dan Minuman (F&B) kini boleh memohon permit import untuk gula sekali gus menghapuskan monopoli import gula di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen memberitahu salah seorang pengeluar F&B di Sarawak berjaya mendapatkan permit untuk mengimport gula.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuching hari ini.

“Kerajaan persekutuan yang baharu berpendapat bahawa monopoli adalah tidak baik untuk ekonomi negara dan oleh itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna secara serius sedang mengkaji perniagaan ini yang dimonopoli oleh kumpulan atau individu tertentu,” ujarnya.

Menurutnya, pengilang F&B di negara ini khususnya di Sarawak dan Sabah boleh mengimport gula halus secara terus dari luar negara dengan harga lebih rendah iaitu kurang daripada RM2 sekilogram melalui dasar terbuka pada masa ini.

Berbanding dasar terdahulu, jelasnya, pengilang terbabit terpaksa membeli gula halus pada harga RM2.80 sekilogram dari hanya dua syarikat di Semenanjung yang diberi permit untuk mengimport gula mentah dan menapisnya di negara ini.

“Ini merupakan usaha kerajaan PH untuk mengawal kos hidup yang semakin meningkat kerana ia antara lain disebabkan oleh dasar monopoli yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelumnya,” kata Chong.

Sehubungan itu, beliau berharap pengilang F&B dapat mengurangkan kos pengeluaran dengan kebenaran memohon permit import gula itu.