Pengilang perlu perluas, pelbagaikan portfolio bantu kembangkan ekonomi, kata Mahathir

Pengilang perlu perluas, pelbagaikan portfolio bantu kembangkan ekonomi, kata Mahathir

Para pengilang perlu mempelbagaikan dan memperluas portfolio masing-masing dalam usaha membantu mengembangkan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pembuatan merupakan perniagaan yang baik serta dapat memberi sumbangan besar di samping mengembangkan ekonomi Malaysia.

“Terdapat jutaan produk yang boleh anda hasilkan di negara ini.

“Saya berharap para pengilang di negara ini akan belajar untuk memperolehi kemahiran dan pengetahuan (yang diperlukan) bagi menghasilkan produk kita sendiri,” katanya semasa berucap di majlis makan malam kali ke-50 Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia di sini, malam tadi, lapor Bernama.

Dr Mahathir berkata, ekonomi Malaysia akan dapat berkembang sekiranya negara menghasilkan lebih banyak produk untuk kegunaan dalam negara.

“Sekiranya kita tidak berbuat demikian, Malaysia hanya akan menjadi negara pengguna dengan kita membeli produk dari negara lain dan wang akan mengalir ke luar.

“Apabila wang dihantar ke luar dari negara kita…kita akan kehilangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Oleh itu, Dr Mahathir berkata beliau mahu pengilang Malaysia meneroka ke dalam lebih banyak industri.

“Bagi negara, yang pernah menjadi sebuah negara pertanian, pada satu ketika kita sangat giat dalam perindustrian dengan 80 peratus daripada jumlah eksport Malaysia terdiri daripada barangan perkilangan.

“Ini menunjukkan kemampuan industri pembuatan untuk berkembang…kita bergantung kepada perlombongan timah dan mengeksport timah serta komoditi lain, namun pengeluarannya adalah terhad,” katanya.

Beliau berkata, industri pembuatan, bagaimanapun, tidak akan mengalami kekangan sumber memandangkan ia boleh berkembang ke dalam industri lain.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote