Pengisytiharan harta tidak jadikan keluarga sasaran jenayah, kata Rafizi

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau sendiri tidak pernah diugut penjenayah meskipun mengiystiharkan hartanya kepada umum tahun lalu.

Katanya, alasan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa tindakan itu mengundang jenayah tidak dapat diterima dan menunjukkan menteri wilayah persekutuan itu bimbang jumlah hartanya diketahui umum.

“Alasan yang diberikan Tengku Adnan mengenai risiko keselamatan adalah tidak masuk akal.

“Sebenarnya beliau takut dengan rakyat kerana beliau tidak berani untuk memperincikan harta dan sumbernya seperti yang saya buat tahun lalu.

“Saya tidak pernah diugut atau sesiapa dari keluarga saya menerima ancaman kerana penjenayah tahu saya tidak berduit,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab balas kenyataan Tengku Adnan yang tidak akan membuat pengisytiharan harta kepada umum kerana bimbang keluarganya menjadi sasaran penjenayah.

Sebaliknya Rafizi berkata pengiystiharan harta dapat membantu wakil rakyat menjalani kehidupan yang lebih aman dan selamat.

Bahkan katanya, beliau sendiri menerima lebih banyak sumbangan daripada orang ramai yang memahami beban kerjanya selepas mengiystiharkan harta.

“Dari masa ke semasa ada sahaja orang biasa yang datang ke pusat khidmat untuk menderma kerana mereka simpati dengan kedudukan kewangan saya dan keluarga.

“Saya jarang mendapat permohonan tajaan kerana semua orang tahu saya tidak berduit,” kata Rafizi.

Rafizi tahun lalu mengisytiharkan aset bersih dimilikinya bernilai RM1.56 juta dan hutang sebanyak RM395,937.

 

COMMENTS

Wordpress (0)