Malaysia Dateline

Pengkhianat PH bangga jadi menteri dalam kerajaan PN

Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Hatta Ramli menyifatkan tindakan pengkhianat Pakatan Harapan (PH) memalukan kerana tidak bertanggungjawab untuk menyumbang kepada prestasi kerajaan sebelum ini.

Menurut Setiausaha Agung AMANAH itu, PH selama 22 bulan mentadbir kerajaan telah melakukan banyak reformasi dan penambahbaikan termasuk melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Jadi, di mana kekurangan yang mewajarkan satu tindakan khianat oleh sebahagian daripada kita (PH) dan peluang ini memang ditunggu-tunggu oleh pembangkang.

“Mereka ketawa senyum lebar parti yang kalah jadi pemerintah, bayangkan rakyat melihat, apa ini?

“Apakah mereka (pengkhianat) rasa semasa dalam kerajaan, kerajaan tidak perform? Kalau tidak perform, mereka sebahagian dari kerajaan ketika itu.

“Mereka patut bertanggungjawab. Ini dengan bangganya mereka menjadi menteri juga dalam kerajaan baru seolah-olah mereka tidak ada kaitan dalam kerajaan terdahulu,” bidasnya.

Dr Hatta berkata demikian dalam siaran langsung Ceramah Harapan: Kembalikan Mandat Rakyat malam tadi sempena ulangtahun kedua kemenangan PH dalam PRU-14.

Mengulas lanjut, Dr Hatta berkata, tindakan pengkhianat terbabit turut membuka ruang pula kepada sebahagian ahli kerajaan yang kleptokrat untuk masuk semula dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

“Bayangkan betapa rakyat mengalami penderaan mental memikirkan orang yang dahulunya kita berjaya tumbangkan tiba-tiba mereka berada di posisi untuk melaksanakan dasar yang tidak ada manifesto dan tidak ada hulu hala.

“Bagaimana kita boleh terima? Ini adalah suasana yang memerlukan tindakan yang tegas oleh kita semua termasuk rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Hatta berkeyakinan tinggi rakyat mahu melihat semula hak yang mereka berikan kepada PH sebagai wakil mereka untuk membentuk kembali kerajaan.

“Kalau tidak, kita melihat demokrasi diselewengkan dan parti yang dulunya ditolak tiba-tiba muncul balik.

“Apa beza kerajaan sekarang dengan kerajaan semasa BN memerintah?” tambahnya lagi.