Malaysia Dateline

Pengkhianatan perjuangan Palestin

Apakah itu pengkhianat? Mereka yang asalnya merupakan sekutu tetapi kemudiannya berpaling tadah dan menikam dari belakang, itulah pengkhianat.

Bagi para penyokong Pakatan Harapan (PH), mereka faham apakah itu pengkhianatan dan 2020 ini adalah tahun perbuatan itu.

Tetapi di sini penulis bukan hendak memperkatakan mengenai politik dalam negara.
Pengkhianatan yang hendak dibicarakan ialah mengenai Palestin, juga yang menjadikan 2020 sebagai tahun pengkhianatan.

Mengapa dibicarakan mengenai Palestin sedangkan ia sudah berulangkali diperkatakan hingga pasti ada orang yang jemu terhadapnya?

Sedangkan  terdapat banyak isu berkaitan umat Islam lain  di seluruh dunia. Dari Filipina Selatan, Thailand Selatan, Rohingya, Kashmir, Uighur, Afghanistan, Nagorno-Karabakh, Syria hinggalah Yaman. Adakah Palestin lebih istimewa daripada yang lain?

Banyak orang Islam menganggap Palestin adalah isu istimewa. Kerana di situ terletaknya Masjidil Aqsa dan Baitulmakdis. Palestin adalah orang Arab yang berhadapan dengan Yahudi, Zionis, Israel dan seluruh dunia Barat.

Masjidil Aqsa adalah bangunan dan Baitulmakdis adalah tempat. Tentunya manusia lebih penting daripada bangunan dan tempat. Palestin adalah orang Arab tetapi semua orang Islam adalah serupa di sisi sesama penganut agama.

Yahudi adalah kaum tetapi mereka ditentang kerana kezaliman mereka, bukan disebabkan kaum. Zionisme adalah fahaman yang menyingkirkan hak milik rakyat Palestin. Israel adalah negara yang menduduki tanah air orang lain. Dunia Barat pula mendokong dan membantu kezaliman Israel.

Palestin adalah isu Arab, Islam dan kemanusiaan. Tiada istimewanya tetapi perjuangannya masih relevan walaupun untuk mencapai kejayaan, ia tidak kelihatan ada harapan. Tetapi buat masa ini obor perjuangannya wajar diteruskan walaupun sedang berlaku pengkhianatan.

Siapakah yang mengkhianati perjuangan Palestin? Dalam bulan lalu, dengan senyum lebar, berduyun-duyun pelancong Israel tiba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga senyum lebar. Akhirnya warga Israel memperoleh satu lagi destinasi untuk kunjungan mereka.

Dunia menjadi lebih luas dalam keadaan di mana banyak tempat masih menyekat mereka kerana layanan buruk dan kezaliman rejim Tel Aviv terhadap warga Palestin.

Keadaan itu berlaku selepas laluan udara dibuka dari Tel Aviv ke Dubai ekoran hubungan diplomatik antara Israel dan UAE. Emiriah itu, sebagai sebuah negara Arab dan Islam telah mengkhianati Palestin dan perjuangannya.

Sekutu Palestin berada dalam tiga lingkaran. Lingkaran pertama ialah orang Arab, sesama bangsa. Ada orang Arab yang bukan Islam seperti kalangan penganut Kristian di Lubnan dan Palestin sendiri.

Lingkaran kedua ialah orang Islam. Dan lingkaran ketiga ialah mereka yang bukan Arab dan bukan Islam tetapi menyokong Palestin atas dasar keadilan.

Sekutu Israel juga mempunyai tiga lingkaran. Kalangan Yahudi pada lingkaran pertama. Dunia Barat yang menyokong Israel sebagai lingkaran kedua. Sementara lingkaran ketiga ialah orang bukan Barat yang menyokong Israel seperti Singapura. Tentunya ada pengecualian. Terdapat juga orang Yahudi, terutama kalangan golongan kiri yang menyokong Palestin.

Jadi, apabila UAE mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel baru-baru ini, ia adalah suatu pengkhianatan kerana selama ini mereka tidak bersikap demikian.

Begitu juga dengan Sudan yang turut mengumumkan pengiktirafannya terhadap Israel. Jadi, pada tahun 2020, dua negara Arab sudah menjadi pengkhianat perjuangan Palestin. Sememangnya ada alasan dan hujah mereka berbuat demikian.

Antaranya soal perdamaian dan rancangan Amerika Syarikat. Mungkin akhirnya kesemua perkara ini akan mendatangkan kebaikan. Tetapi pada detik ini, ia merupakan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin.

Baru-baru ini ada satu laporan bahawa Maghribi yang sudah lama mengiktiraf Israel akan menjalin hubungan dilomatik dengan negara Zionis itu. Presiden Donald Trump juga sudah mengumumkan bahawa banyak lagi negara Arab akan mengiktiraf Israel dengan kemuncaknya ialah Arab Saudi.

Proses ini dipercayai akan diteruskan apabila Joe Biden menjadi presiden kelak. Malah jika dilihat ke belakang, boleh dikesan bahawa proses ini bermula sejak Arab Spring lagi ketika Barack Obama menjadi presiden. Obama dan Biden datang dari parti yang sama iaitu Parti Demokratik.

Sebelum ini, negara-negara Arab yang sudah menjalin hubungan diplomatik ialah Jordan dan Mesir. Akibat peperangan mereka berada dalam keadaan begitu. Adakah mereka mengkhianati perjuangan Palestin?

Walaupun banyak alasan dan hujah bagi membolehkan sesebuah negara sekutu berpaling tadah tetapi segala perkembangan yang menyukarkan lagi rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri adalah suatu pengkhianatan.

Tetapi penubuhan Israel dan penafian hak Palestin sejak tahun 1948 adalah suatu pengkhianatan. Pemberontakan Arab terhadap Kekhalifahan Usmaniah sehingga runtuh empayar itu juga merupakan pengkhianatan terhadap Islam atas nama kemerdekaan Arab.

Walaupun banyak sebab keadaan ini berlaku dengan orang Turki tidak memberi layanan baik pada orang Arab, tetapi ia tetap merupakan suatu pengkhianatan.

Orang Arab bekerjasama dengan British dan Perancis melemahkan Istanbul dan selanjutnya membuka ruang bagi kemasukan Zionis ke Palestin. Sementara negara-negara kecil Arab menjadi tanah jajahan British yang kemudiannya merdeka dengan menjaga kepentingan mereka. Antaranya ialah UAE.

British yang memegang Mandat Palestin selepas Perang Dunia Pertama adalah pengkhianat terbesar. Tetapi apa yang hendak dihairankan kerana mereka bukan negara Arab dan Islam.

Apa yang diharapkan dari mereka ialah keadilan dan kemanusiaan selaku negara bertamadun. Tetapi Turki yang mengiktiraf Israel juga telah melakukan pengkhianatan dari awal lagi.

Beberapa bulan lalu, Israel mengadakan pesta pameran produknya di Singapura. Mereka tidak dapat masuk Malaysia, Indonesia dan Brunei. Maka Singapura menjadi pangkalan bagi mereka di tengah-tengah rantau Islam Asia Tenggara.

Malaysia akan tetap bersama rakyat Palestin menuntut hak milik kedaulatannya.

Singapura nempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak ia berpisah daripada Malaysia. Bukan itu saja, Singapura menjalin hubungan pelbagai bidang termasuk pertahanan dengan Israel.

Andaikata dahulu kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman berupaya mempertahankan Singapura di dalam Malaysia, maka dapatlah dielak Israel daripada bertapak di Alam Melayu.

Apa yang Malaysia dapat lakukan tahun ini hanyalah menamakan sebuah jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin. Itu pun ada bantahan dari segolongan orang Islam yang mempersoalkan mengapa negara ini mengambil peduli terhadap suatu isu yang jauh.

Umumnya rakyat Malaysia terutama orang Melayu menyokong perjuangan Palestin dari awal lagi, dan sekarang pun sudah berganti generasi. Israel ditubuhkan pada tahun 1947 dan menakluk Baitulmakdis pada tahun 1948. Tahun yang sama Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Mereka cuba berbaik dengan Malaya tetapi ditolak oleh Tunku Abdul Rahman.

Tetapi Malaysia juga tidak dapat berbuat apa-apa, hanya menganjurkan persidangan dan menghantar bantuan serta memberi biasiswa pada pelajar Palestin. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri amat lantang bersuara mengenai Palestin di samping berusaha sedaya beliau.

Namun bila ada Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah bertaraf menteri pun, ia tidak dapat berbuat apa-apa kalau tiada idea untuk memikirkan insiatif segar untuk perjuangan Palestin.

Benteng Palestin di Malaysia adalah gerakan Islam di negara ini. Mereka akan pasti bersama dengan Palestin walaupun mempunyai aliran berbeza yang pelbagai. Tetapi generasi akan berganti dan tidak akan diketahui pendirian mereka pada suatu hari kelak.

Tetapi adalah dipercayai ketika mana seluruh dunia Arab mungkin satu hari mengkhianati perjuangan Palestin, alam Melayu iaitu Malaysia dan Indonesia akan tetap bersama rakyat Palestin menuntut hak milik kedaulatannya.

 

*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.

Satu demi satu negara Arab mengkhianati perjuangan Palestin.