Malaysia Dateline

Pengkhianatan sebenarnya lahir dari dalaman sendiri, luah Nik Omar

Kemelut politik yang menyaksikan tindakan segelintir ahli politik tanpa segan silu mengkhianati parti berpunca daripada sikap pemimpin yang membelakangkan janji.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata, tiada siapa yang boleh menolak hakikat bahawa terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah atas dasar janji dan gabungan bersama empat parti di dalamnya.

Namun tegasnya, apa yang berlaku hari ini sebenarnya bermula dengan pengkhianatan janji yang selama ini mengikat kesatuan Pakatan Harapan (PH).

“Perlu diketahui, terbentuknya PH kerana penglibatan gabungan individu penting dari setiap parti khususnya perjanjian antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tapi apa yang berlaku sekarang adalah pengkhianatan kepada janji.

“Pengkhianatan ini lahir daripada dalaman sendiri, yang tak nak ikut janji kerana terlalu mementingkan kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sahaja,” katanya kepada Malaysia Dateline baru-baru ini.

Tambah anak bekas Mursyidul Am Pas itu lagi, Islam menekankan bagaimana pentingnya untuk mengotakan janji, hatta janji kepada mereka yang bukan Islam.

Malah katanya, apa yang dilakukan Muhyiddin untuk membentuk satu kerajaan yang mahu mengetepikan parti bukan Islam iaitu DAP, secara jelas telah melanggar janji dalam pakatan.

“Dia tahu dari sudut kepimpinan, kita dapat tadbir kerana mandat rakyat Malaysia. Majoriti rakyat Malaysia inginkan perubahan.

“Rakyat Malaysia sudah muak dengan isu orang politik yang ambil kesempatan untuk membina kekayaan dan gaya hidup mewah dengan cara merompak hasil negara untuk kepentingan individu mahupun kelompok.

“Kita kena akur itu. Muhyiddin juga acap kali sebut bahawa dia faham dan jelas bahawasanya kepimpinan akan beralih kepada Anwar. Kerana apa kita tak tunai janji,” soalnya.

PH tak dikuasai ‘non muslim’

Nik Omar turut menjelaskan, oleh kerana PH ditubuhkan melalui gabungan parti yang mempunyai pendekatan berbeza, maka sentimen dan anggapan yang mengatakan PH dikuasai ‘non muslim’ adalah tidak benar.

Beliau berkata, jika dilihat semula, tiada sedikit pun ancaman terhadap Islam sepanjang negara di bawah pentadbiran PH.

Bahkan katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sentiasa memberikan sokongan untuk perkasakan Islam dengan peruntukan yang terus meningkat setiap tahun.

“Sentimen perkauman yang dimainkan seolah-olah kerajaan PH dikuasai oleh non muslim.

“Kerajaan sekarang ini pun adakah tidak ada penglibatan dari non muslim? Tetap ada, sama ada dari MIC, MCA atau GPS.

“Jadi, nak tubuh dan urus kerajaan, perlu membabitkan semua kaum. Kalau hanya satu parti yang mewakili satu kaum tertentu, itu tidak mungkin dapat diuruskan dengan baik,” ulasnya.