Malaysia Dateline

Zulhazmi Shariff

Pengkhianatan semakin menggila, apa tugas kita

Negara tidak akan lupa dan tidak boleh dilupakan bagaimana segolongan Ahli Parlimen mengkhianati undi dalam PRU14 hingga mengakibatkan pakatan yang diundi memenangi pilihanraya terpaksa menjadi pembangkang sejak Mac 2020.

PRU14 pada 9 Mei 2018 telah mencatat sejarah ulung kejatuhan Umno/BN yang pertama kali berlaku sejak Merdeka. Pengundi memilih Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai KeADILan, DAP, Amanah dan PPBM dengan sah menjadi pentadbir negara.

Selama 22 bulan mentadbir sebelum dikhianati Muhyiddin dan kumpulannya, PH telah mula mengubah sistem pentadbiran menjadi lebih baik sehingga perbendaharaan negara yang tenat dek kleptokrak 1MDB dan konconya mula menunjukkan prestasi membanggakan.

Hutang negara mula dibayar. Pelbagai projek luarbiasa bazir dan rugi dirunding semula memberikan faedah kepada negara serta rakyat.

Hasilnya tidak sempat dibelanjakan secara baik dan berhemah oleh PH tetapi diborosi oleh Perikatan Khianat dengan sokongan kleptokrat.

Bermula Mac 2020 Pakatan Khianat mentadbir, negara mula dilanda pandemik covid19 seperti mana dunia turut derita.

Apa yang dilakukan Perikatan Khianat ini semua maklum tetapi samada redha, suka atau malas ambil tahu menyebabkan Perikatan Khianat terus dan semakin menggila.

Tiada nilai tambah dalam Perikatan Khianat ini melainkan menjaga kuasa dan jawatan peribadi. Saiz Kabinet PH yang kecil untuk menjimatkan wang negara dibesarkan oleh Pengkhianat untuk mendapatkan sokongan.

Apabila dilihat sokongan semakin menipis, Darurat dilaksana konon atas niat membendung pandemik. Sejak Januari 2021 darurat diproklamasi sehingga hari ini dalam keadaan Program Imunisasi Kebangsaan berjalan, pandemik covid19 masih tidak mampu dibendung dan dikawal.

Semalam 15 April 2021, kes baru masih di angka ribu atau lebih tepat 2,148 kes dengan 8 kematian.

SOP demi SOP diperintahkan tetapi angkanya tetap tidak menggambarkan akan berlaku penurunan.

Tiba-tiba Perdana Menteri Pakatan Khianat maklumkan negara semakin kurang wang akibat berbelanja untuk rakyat. Lalu dicadangkan kakitangan awam berwakaf.

Kepimpinan melalui teladan. Sewajarnya Perdana Menteri mengecilkan anggota Kabinet untuk menjimatkan bayaran gaji Menteri dan Timbalan Menteri.

Seorang Menteri bergaji bulanan tidak kurang RM50,000 sebulan. Timbalan Menteri bergaji tidak kurang RM30,000 sebulan. Tiada siapa tahu apa yang dilakukan oleh Menteri-Menteri yang ramai dan Timbalan-Timbalan Menteri yang bersusun melainkan cukup bulan dapat gaji.

Menteri Kewangan punyai dua timbalan sebagai contoh. Apa yang timbalan lakukan? Menteri Kesihatan juga punyai dua timbalan, apa tugas mereka?

Menteri Wilayah Persekutuan pula timbalannya boleh bercuti bergaji di luar negara atas kelulusan Perdana Menteri. Apa kerja mereka yang memberikan hak kepada mereka menerima gaji setiap bulan?

Hari ini dilaporkan seorang Ahli Dewan Negara akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Pelancongan. Untuk apa? Menteri Pelancongan pun rakyat tidak tahu apa yang beliau lakukan, sekarang Kerajaan menambah timbalan pula! Apa yang Timbalan Menteri nak buat kalau Menteri pun tak tahu apa yang dibuat?

Ahli-Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara malah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia masih bergaji bulanan dalam keadaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak bersidang atas halangan Kerajaan Persekutuan.

Rakyat makin tertekan. Ekonomi makin mendesak. Rakyat ada yang mati semasa mencari rezeki. Semalam seorang remaja penghantar makanan mati setelah dihempap pokok semasa menghantar pesanan.

Menteri Kanan Keselamatan umumkan pula negara kemungkinan akan menghadapi gelombang ketiga. Ehhhh ini apa pula? Negara sedang menjalani vaksinasi, tiba-tiba pandemik akan meningkat. Apakah vaksin yang diperolehi dengan ratusan juta wang negara tidak baik?

Adakah makluman ini hanya helah untuk melanjutkan darurat? Darurat apa kita ini? Menteri, pimpinan bebas ke sana ke sini. Rakyat juga ada yang bebas keluar merata-merata dengan pematuhan SOP. Darurat apa kita?

Pengkhianat-pengkhianat ini akan terus menggila jika dibiarkan berkuasa. Bukan mereka yang khianat ini saja yang akan dihina dan dibenci tetapi yang mempertahan dan merestui mereka juga akan terpalit sama.

Nak bagaimana lagi kita??

Bangkitlah, sedarlah, bersama-samalah kita nyahkan pengkhianat demi negara.

Tamatkan DARURAT, Selamatkan Malaysia.

Dengan penuh tanggungjawab menulis.

(Nyatakan sokongan melalui www.tamatdarurat.com.)