Penglibatan Adun dan pegawai lantikan politik di kalangan pemimpin Armada menunjukkan kerajaan gagal menjadi pejuang dalam menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah di negara ini.
Berikutan isu kontroversi tersebut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyifatkan, rakyat sukar untuk memberi kepercayaan kepada menteri apabila budaya itu sudah menyerap sehingga ke dalam kementerian.
“Kes ini menyebabkan kerajaan hilang kredibiliti untuk meneruskan kerja-kerja menyelamatkan belia Malaysia daripada penagihan dadah.
“Belum selesai kes rogol oleh Adun Perak dibicarakan di mahkamah, timbul pula kes dadah yang membabitkan Adun Selangor.
“ Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq ada mengeluarkan kenyataan untuk mempercepatkan usaha dekriminalisasi (menyahjenayah) penagih dadah memandangkan ramai penagih dari kalangan keluarga miskin sehingga terpaksa mengaku salah dan dipenjarakan.
“Adun ini bukan rakyat yang miskin, malahan mempunyai pengaruh yang kuat sebagai ahli politik. Dadah sintetik tak mampu dibeli oleh orang miskin, apatah lagi hingga menganjurkan pesta persendirian di kondominium mewah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut mempersoalkan mengenai pindaan undang-undang yang berkaitan.
“Adakah jika kerajaan berjaya meminda undang-undang yang berkaitan, sekiranya disabit kesalahan, beliau dan rakan-rakannya boleh bebas mengulang penagihan dadah kerana tidak lagi direkodkan sebagai penjenayah?
“Saya menyeru agar usaha untuk menyahjenayah penagih dadah dihentikan dan beri fokus kepada usaha pencegahan dan penguatkuasaan.
“Sekarang, beban atas bahu kerajaan semakin berat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa penglibatan pegawai daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan dadah tidak mempengaruhi atau menjejaskan komitmen kerajaan dalam membendung aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia yang semakin parah,” ujarnya lagi.
Semalam dalam sidang media, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata 17 individu termasuk 6 wanita ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong untuk siasatan kes penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.
Hamid bagaimanapun tidak menamakan individu-individu yang ditahan, nama pangsapuri berkenaan, dan di kawasan mana terletaknya kondominium tersebut.
Dalam tangkapan awal pagi tadi, polis temui plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan 1 piring kaca dipercayai mengandungi dadah jenis sama seberat 0.3 gram.
Polis juga temui sebatang rokok dibalut dengan daun kering, dipercayai dadah jenis ganja. Polis juga temui daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk berjudi.
Hasil saringan pertama mendapati hanya seorang lelaki disahkan negatif dadah.
Namun Hamid engan menjawab pertanyaan media sama ada pembabitan pemimpin politik sehingga pihak polis mengeluarkan kenyataan rasmi hasil siasatan lanjut dijalankan.