Malaysia Dateline

Penglibatan agensi kerajaan, swasta penting bangun modal insan belia

Keterlibatan semua agensi kerajaan dan swasta dilihat penting dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan disamping memperkasa agenda mengupaya golongan belia di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka International Bowling Centre, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tanpa melibatkan agensi kerajaan semata-mata, agensi korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) turut mempunyai peranan sama penting menyumbang kepada pembangunan negara.

Malah katanya, kebanyakannya anak syarikat dan pihak korporat telah terlibat secara langsung termasuk di peringkat MIBC sendiri untuk membantu dari sudut prasarana dan pembangunan belia di bawah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Sebagai contoh, pembangunan Rumah Belia Melaka (RBM) adalah inisiatif kerajaan negeri. Tetapi yang menariknya adalah, ramai dari organ GLC dan juga korporat turut terlibat sama untuk menyokong usaha tersebut .

“Jadi secara tidak langsung ia telah membantu mengurangkan beban kerajaan negeri untuk membina dan memenuhi keperluan belia.

“Kalau sebelum ini, tenaga untuk menggerakkan usaha itu adalah tenaga agensi kerajaan, tetapi apabila kita memutuskan untuk terlibat secara langsung dengan agensi kerajaan yang sedia ada dan agensi swasta serta agensi korporat, secara tidak langsung menyumbang hasil kepada kerajaan negeri itu sendiri,”katanya dalam ketika program Selamat Pagi Malaysia dalam segmen Peduli Netizen , Setahun Kejayaan GLC di Melaka.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, sebagai anak syarikat kepada kerajaan, memang seharusnya untuk mereka turun kebawah, melakukan lawatan ke sekolah-sekolah dan melibatkan diri dalam program team building yang secara tidak langsung akan membantu melibatkan diri di peringkat kerajaan negeri.

Katanya lagi, usaha GLC bersama pelbagai badan agensi yang lain mendapat reaksi positif dan menggalakkan dari golongan belia.

“Saya lihat yang paling penting ialah sektor pendidikan.¬†Kebiasaannya apabila kita sebut tentang pendidikan, secara automatik kita hanya melihat penglibatan agensi kerajaan dalam mengemudi sektor itu. Tetapi sebenarnya banyak ruang agensi korporat boleh terlibat sama untuk membantu dari sudut institusi pendidikan.

“Institusi pendidikan juga bukan hanya berkaitan dengan sekolah, tetapi juga berkaitan dengan pembinaan jati diri, pembinaan insaniah, dan juga pembinaan kemahiran diperingkat sekolah atau Menengah.

“Jadi saya lihat, diperingkat anak syarikat boleh meletakkan perkaera tersebut sebagai satu keutamaan untuk mereka turut sama terlibat dalam pembangunan belia selain daripada organ kerajaan yang sedang bergerak sekarang,” ujarnya.