Penglibatan NGO kuasa penting bantu ekonomi negara, kata Pengerusi Mawar

Penglibatan NGO kuasa penting bantu ekonomi negara, kata Pengerusi Mawar

Majlis Perundingan Wanita Rahmah (Mawar) Yadim menyifatkan sumbangan wanita dalam badan bukan kerajaan (Ngo) sebagai peranan terpenting yang membantu membangunkan sosial ekonomi negara dan menggerakkan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Pengerusi Mawar, Dr Hafidzah Mustakim menyifatkan kuasa wanita dan kuasa ngo sebagai dua kumpulan yang mempunyai bakat besar yang terbukti sehingga kini berupaya membangunkan ekonomi negara.

Jelasnya, dianggarkan sehingga 15 peratus bantuan dunia disalurkan melalui badan ngo yang terdapat dalam negara.

“Kita mendapati bahawa ngo merupakan kuasa yang semakin penting dan diiktiraf dunia. Banyak pembiayaan orang perseorangan disalurkan melalui ngo.

“Dalam negara membangun, dianggarkan terdapat 6,000 sehingga 30,000 badan ngo. Statistik laporan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sehingga Mac 2016, kita ada sekitar 57,000 ngo berdaftar dan separuh daripadanya masih aktif yang dianggarkan sekitar 26,000.

“Kalau kita bandingkan contohnya di Amerika Syarikat, mereka mempunyai 2 Juta ngo, Rusia 400,000, manakala India sekitar 1 hingga 2 Juta ngo. Jadi beruntunglah sebab kita bergiat aktif dalam bidang yang semakin signifikan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan dalam program Dialog Rahmah ‘Majlis Muafakat Mawar Yadim bersama Ngo Wanita Islam’ di Bangi Convention Centre, hari ini.

Tambahnya, pelbagai kajian konsisten turut menunjukkan apabila wanita dilibatkan sebagai pemegang taruh dalam sesebuah syarikat, maka kesannya akan dirasai oleh organisasi terbabit.

“Dalam bidang ekonomi umpamanya Kajian McKinsey tentang “Women Matters” menunjukkan syarikat yang mempunyai ramai wakil wanita dalam lembaga pengarah dan jawatan pengurusan kanan telah terbukti mencatat prestasi yang lebih baik berbanding syarikat yang mempunyai kurang atau tiada pengarah wanita.

“Credit Suisse Research Institute melaporkan pertumbuhan pendapatan bersih sejak enam tahun lepas mencatatkan purata 14 peratus bagi syarikat yang mempunyai pengarah wanita berbanding 10 peratus yang tidak mempunyai pengarah wanita,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Agama, Fuziah Salleh; Naib Pengerusi Mawar, Senator Raj Munni [email protected] Athirah Al Jundi; dan Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, beliau berkata, Mawar yang dijenamakan semula ini akan membentuk jalinan kerjasama dalam melaksanakan program bersama ngo yang memiliki kompetensi dalam menangani masalah dalam institusi keleluargaan.

Katanya, bermula awal tahun 2020, Mawar akan digerakkan ke peringkat negeri agar mesej dakwah dan hasrat kerajaan dapat di sampaikan hingga ke akar umbi .