Penglibatan Presiden Pas dalam program kerajaan dipuji Exco Terengganu

Penglibatan Presiden Pas dalam program kerajaan dipuji Exco Terengganu

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi dilihat meneruskan jalinan kerjasama dengan pemimpin Umno dalam penganjuran Program Pelepasan Tukun ‘Ring To Reef’ (R2R) dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan dan Petronas di perairan Pulau Kapas hari ini.

Sebelum ini dalam dua acara tahun lalu yang diadakan, Abdul Hadi bersama dengan Presiden Umno  yang juga  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam program ‘Himpunan Selamatkan Rohingya’ dan turut  mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA2016) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Hari ini bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu, akan menyempurnakan Majlis Pelancaran R2R antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Petronas dai Jeti Perikanan Marang.

Penglibatan Presiden Pas, dalam beberapa program kerajaan wajar dicontohi dan dipuji kerana ia menunjukkan kematangan beliau dalam politik kata Exco Kerajaan Negeri A Latiff Awang dalam temubualnya dengan Bernama sebelum program berlansung hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi itu berkata dengan kehadiran Abdul Hadi ia menunjukkan suasana politik lebih baik dan lebih tenang.

“Umno sendiri sedia menerima siapa sahaja yang sanggup bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), yang penting rakyat perlu diutamakan.

“Abdul Hadi dilihat menyahut seruan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Kita boleh bersaing dalam politik tetapi tidak bermusuh…kenyataan beliau akhir-akhir ini juga menunjukkan beliau memberi sokongan terhadap agenda kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco semalam.

Abdul Hadi yang juga Adun Rhu Rendang, turut membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang mendapat sokongan kerajaan dan bakal dibahaskan di Parlimen pada Julai ini.

Latiff yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan turut berbangga dengan adanya program pelepasan tukun ke perairan Marang itu kerana mampu meningkatkan pendapatan di kalangan 2,000 nelayan aktif (vesel) yang telah mendaftar dengan Jabatan Perikanan.

“Kawasan itu telah dilabuhkan tukun konkrit oleh Jabatan Pertanian dua tahun lepas dengan kerjasama Jabatan Perikanan dan ia dijangka akan meningkatkan pembiakan ikan.

“Sebahagian besar penduduk Marang tinggal di kawasan pesisir pantai bermula dari Jambu Bongkok sehingga ke Rusila yang banyak mengusahakan hasil daripada laut,” katanya.

Kehadiran Abdul Hadi disambut Ahmad Shabery di Jeti Perikanan Marang hari ini.

COMMENTS

Wordpress (0)