Penglibatan wanita terus meningkat melalui Pakatan Harapan

Penglibatan wanita terus meningkat melalui Pakatan Harapan

Zuraida Kamaruddin

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin berkata, merujuk kepada kenyataannya semalam, adalah tidak tepat untuk Barisan Nasional (BN) mengandaikan bahawa PH telah gagal kerana kuota 30% wanita sebagai calon pilihan raya tidak dapat tercapai.

Kata beliau, perlu ditekankan bahawa, calon wanita PH di dalam PRU14 kali ini adalah lebih ramai dari sebelumnya. Jika pada PRU-13 dahulu, PH hanya mempunyai seramai 16% calon wanita daripada keseluruhan jumlah calon.

“Pada PRU-14 pula lebih 22% daripada calon PH adalah wanita, yang mana ini merupakan satu peningkatan yang amat positif.

“Bagi sebuah gabungan parti politik yang sebegitu muda berbanding BN yang sudah ditubuhkan 60 tahun dahulu, sememangnya kita lebih berjaya daripada mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Terbaru katanya, Tan Sri Shahrizat Jalil telah berkata bahawa Umno-BN akan mencapai 30% calon wanita dalam PRU14 akan datang.

Terus terang saya katakan, ini adalah satu penipuan yang nyata daripada pihak mereka, ujar beliau.

“Tiba masa penamaan calon nanti, sudah pasti 30% itu tidak akan dapat dicapai dan Barisan Nasional tetap akan melupakan pemimpin wanita mereka seperti yang kita lihat sekarang.

“Perjuangan Wanita PH adalah bersifat berterusan dan kita telah berjaya meruntuhkan tembok patriaki dan stereotaip gender yang telah lama dibina oleh BN selama ini. Paling parah adalah apabila sebahagian besar rakyat Malaysia telah terikut-ikut dengan fahaman seperti ini.

“Terlalu banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh wanita Malaysia di bawah dua negeri yang ditadbir oleh PH (Selangor & Pulau Pinang).

“Wanita di kedua-dua negeri ini telah diangkat martabat mereka dalam pelbagai bidang, termasuk pentadbiran negeri,” tambah Ahli Parlimen Ampang itu.

Sebagai contoh jelasnya, hanya di negeri PH sahaja kita dapat melihat wanita dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri, begitu juga dengan GLC milik anak negeri yang telah diberikan tanggungjawab untuk ditadbir oleh wanita.

Selain itu tambahnya, di negeri yang ditadbir oleh PH sahaja wanita berupaya untuk diangkat menjadi Datuk Bandar.

“Malah, jika PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut akan dipilih dalam kalangan wanita dan perkara ini telahpun dipersetujui oleh semua parti gabungan PH.

“Untuk kepentingan wanita Malaysia, memilih PH adalah satu tindakan yang paling wajar.

“Perjuangan untuk meletakkan 30% calon wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kali ini bukanlah satu perkara yang mudah.

“Dalam memilih calon, pelbagai perkara perlu diambil kira dan sudah semestinya kebolehupayaan dan kesediaan untuk memberi khidmat kepada rakyat adalah menjadi syarat utama,” ujar beliau.

Zuraida turut menyeru semua wanita di Malaysia untuk terus memberi sokongan kepada PH.

“Jangan termakan dengan hasutan BN yang dari dahulu hingga kini masih lagi menganggap wanita Malaysia sebagai warga kelas kedua,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote