Malaysia Dateline

Pengorbanan lawan Covid-19 tidak dihargai, Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan dilaksana

Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) 2.0 akan dilaksanakan memandangkan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2022 lalu langsung tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak.

Sekretariat Gerakan HDK dalam kenyataannya menegaskan Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Aziz tidak memandang serius isu doktor kontrak dan masalah sistem kesihatan di negara ini.

“Gerakan HDK merasakan tiada langkah tanggungjawab penuh diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Tawaran yang diberikan tidak masuk akal dan hanyalah sebuah langkah membuang masa,” katanya.

Terdahulu, Zafrul berkata, Kerajaan bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.

Semasa membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu, Zafrul juga mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

Mengulas lanjut, Sekretariat Gerakan HDK turut mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) langsung tidak memberikan sebarang bantahan kepada Kementerian Kewangan (MoF) berkenaan isu terbabit.

“Lima tahun dalam perbincangan masih tiada penyelesaian. Janji lantikan tetap dengan KWSP yang seringkali diuar-uarkan hanyalah umpan supaya kami berhenti bersuara.

“Setelah dua tahun doktor kontrak berhempas pulas melawan Covid-19, pengorbanan mereka tetatp tidak dihargai.

“Dengan ini kami dari Gerakan HDK mengisytiharkan Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan dilaksanakan sebagai tanda protes,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar khas pada 21 Oktober lalu berkata, akan ada ‘berita’ melibatkan masa depan doktor kontrak selepas pengumuman Belanjawan 2022.

Pada 26 Julai lalu, ribuan doktor kontrak menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan termasuklah kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa hadapan kerjaya mereka.

Protes aman sambil membawa plakad itu berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 23,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak.