Malaysia Dateline

Pengorbanan Mat Sabu, parti AMANAH wajar dicontohi semua pihak, kata Khairuddin

“Hanya Allah swt saja yang akan membalas budi baik dan keikhlasan presiden parti Amanah”.

Itu luahan rasa Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini, apabila semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr mahathir Mohamad sendiri mengakui secara terbuka dan terhutang budi pada Presidene Amanah Mohamad Sabu, yang telah membuat banyak pengorbanan bagi menjayakan pengagihan kerusi-kerusi parlimen untuk Pakatan Harapan.

“Pengorbanan Tuan Haji Mat Sabu dan parti AMANAH harus dicontohi oleh semua pihak.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

“Bukan senang bagi beliau serta AMANAH nak bertolak ansur atau berkorban dalam isu ini kerana tekanan-tekanan dalaman kepimpinan Amanah pasti akan wujud.

“Namun, di atas semangat kesetiakawanan dan kepentingan Pakatan Harapan, Tuan Haji Mat Sabu telah mengorbankan segala-galanya untuk menjaminkan kemenangan Pakatan Harapan ke Putrajaya.

“Inilah sifat terpuji dan kemuliaan beliau. Inilah prinsip tulen semangat kesetiakawanan parti AMANAH,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairuddin lagi, Mohamad selaku tokoh politik berpengalaman di tanahair hanyalah diabdikan kepada wadah perjuangan untuk menegakkan kebenaran tanpa bersandarkan kepada sebarang bentuk kepentingan material semata-mata.

“Kepentingan bangsa, agama dan tanahair berada di atas segala-galanya dalam penghidupan Tuan Haji Mat sabu.

“Jatidirinya yang amat tawadduk dan penghidupan seharian beliau amat sederhana. Beliau adalah salah seorang tokoh politik ternama di negara kita yang telah memperhambakan diri berpuluhan tahun lamanya bagi membela kesejahteraan keseluruhan rakyat Malaysia.

Wang ringgit serta kebendaan bukan kayu pengukur kepada perjuangan beliau!! Tidak pernah sebut perkataan ‘tiada wang’ untuk terus berjuang!! Siang malam kediaman beliau adalah di atas jalanraya-jalanraya di tanahair kita.

“Sebab itulah semalam di konvensyen Pakatan Harapan; Allah swt telah mengangkat martabat Tuan Haji Mat sabu.” ujarnya.

Semalam dalam Konvensyen Pakatan Harapan diumumkan melalui Muafakatan Pakatan Harapan telah bersetuju bagi pengagihan  165 kerusi Parlimen , AMANAH memperoleh hanya 27 kerusi, DAP (35) PKR (51) dan PPBM (52).

Turut diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri (PM) PH sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan pula diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).