Malaysia Dateline

Pengorbanan orang awam semasa Covid-19 beri inspirasi, pulih kepercayaan sesama masyarakat

Biarpun Covid-19 banyak memberi cerita duka dan dugaan hebat pada semua yang terkesan, tindak balas masyarakat dunia dan orang awam yang tangkas mencari ikhtiar bagi membendung penularan wabak tersebut amat memberi inspirasi.

Ketika berkongsi perkara berkenaan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kepantasan pengeluaran dan pengedaran vaksin ketika wabak tersebut mula-mula melanda negara pada 2019, sememangnya mengagumkan.

Katanya, tindakan orang ramai yang membantu sesama mereka dalam menghadapi wabak itu amat menyentuh hati sekaligus telah memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap satu sama lain.

“Kepintaran masyarakat dalam menghadapi pandemik juga patut dipuji dan penggunaan teknologi yang ada sangat mengagumkan.

“Sekarang kita sudah agak terbiasa dengan wabak itu sehinggakan banyak masyarakat termasuk Malaysia, telah mengisytiharkan bahawa kita kini berada di peringkat endemik.

“Ini bermakna kita menganggap penyakit ini sama sahaja dengan penyakit yang lain tetapi dengan campur tangan minima oleh pihak berkuasa. Ini bermaksud sekatan pergerakan akan terus dikekalkan pada tahap minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas memberi syarahan atas talian ketika program bersama ahli Institut Kepimpinan Kyushu-Asia (KAIL) hari ini.

Tema yang dibincangkan hari ini adalah berkenaan ‘Bagaimana Generasi Masa Depan Mampu Mempengaruhi Perubahan Terhadap Masyarakat Global Pasca Covid-19’.

Menerusi catatan yang dikongsi Mahathir, beliau juga menyentuh bagaimana norma baharu yang diamalkan rakyat seluruh dunia kini sudah pun menjadi normal dan kebiasaan bagi semua.

Baginya, salah satu norma baharu yang sudah menjadi kebiasaan adalah berinteraksi secara atas talian yang mampu diadakan pada bila-bila masa dengan seberapa ramai pun orang dan organisasi, tetapi dengan kos yang minimum.

Komunikasi atas talian katanya, sudah menjadi hal yang penting terutama apabila negara perlu membuat keputusan pantas melibatkan hal berkaitan masyarakat.

“Dalam erti kata lain, jika terdapat keperluan untuk membincangkan dan memutuskan isu-isu yang melibatkan kawasan dan rakyat, penggubal dasar dan badan pembuat keputusan tidak perlu menunggu untuk semua orang hadir untuk memulakan proses tersebut.

“Bayangkan jika masyarakat antarabangsa terpaksa berbincang dan merancang bagaimana untuk menghadapi wabak Covid-19.

“Jika setiap mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya boleh diadakan apabila semua ahlinya hadir di dalam bilik lembaga, wabak itu mungkin akan masih merebak sehingga hari ini,” katanya lagi.

Dalam syarahannya itu juga, beliau menekankan walau betapa majunya sesebuah masyarakat, ada nilai yang tidak boleh dikompromi atau dibuang.

Nilai-nilai asas seperti rajin, amanah, bangga, bermaruah, jujur, bertolak ansur dan hormat-menghormati adalah antara nilai-nilai yang perlu dipegang erat di hati jika kemodenan dan kemajuan ini benar-benar bermakna, katanya.

Baca juga: Dokumen sulit ‘political enggagement’ Pas bocor, antaranya Zahid, Najib perlu ke penjara

Baca juga: Biawak Bengal dirogol empat lelaki, siap rakam perbuatan terkutuk