Pengsan ketika berbaris panjang, 4,000 pesakit Covid-19 banjiri CAC Stadium Malawati

Oleh ARIF ATAN

Seorang pesakit Covid-19 dilihat sedang dikejarkan oleh petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) di perkarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam pagi tadi.

Itu antara detik mencemaskan yang sempat dirakam pemberita TV3, Norfazilah Sahir ketika meninjau suasana CAC terbesar di negara ini.

Sementara itu, menerusi rakaman video petugas di lokasi tersebut kehadiran pesakit Covid-19 mencecah kira-kira 4,000 orang hari ini dan dikatakan jumlah kehadiran tertinggi di CAC tersebut.

“Jumlah kebiasaan di CAC Stadium Malawati ialah antara 1,200 hingga 1,500 orang,” kata petugas terbabit menerusi siar raya dalam rakaman video yang memaparkan barisan panjang orang ramai di kiri dan kanan jalan.

Pelbagai lapisan kaum dan usia termasuk bukan warganegara Malaysia berbaris menantikan giliran untuk bertemu dengan doktor, dinilai tahap jangkitan dan ditentukan langkah seterusnya.

Pesakit akan ditentukan sama ada ditempatkan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau dibenarkan pulang menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau HSO dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menerusi pengumuman itu lagi, semua pihak berada di CAC Stadium Malawati daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan dari Putrajaya dan pejabat kesihatan daerah.

“Semua berada bersama tuan-tuan membantu operasi kita pada hari ini,” katanya.

Perkongsian rakaman video itu turut mengundang simpati orang ramai memandangkan terdapat bukan sedikit kaum ibu yang membawa bersama anak kecil bahkan bayi.

“Pada hari ini kita ada banyak kes kecemasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Harap tuan-tuan dapat bersabar seketika,” katanya lagi.

Sejak 10 Julai lalu, CAC Stadium Malawati yang diuruskan oleh kira-kira 200 barisan hadapan dibanjiri ribuan pesakit Covid-19 yang berbaris panjang lebih 500 meter.

Koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, keadaan luar biasa ketika mereka memulakan operasi seawal jam 7 pagi kelmarin sukar digambarkan situasi pada masa-masa akan datang.

CAC Stadium Malawati menyaksikan kehadiran luar biasa apabila dibanjiri kira-kira 4,000 pesakit Covid-19 hari ini.