Malaysia Dateline

Penguasaan UPSR  di Sarawak meningkat

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR)di Sarawak adalah mencapai tahap penguasaan minumum iaitu peningkatan 65.11 peratus dengan seramai 25,925 calon.

Berbanding tahun lalu keputusan yang diperolehi ialah 61.75 peratus dengan seramai 24.848 calon yang menduduki peperiksaan UPSR di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, ini menunjukkan pencapaian penguasaan tahap minimum telah meningkat sebanyak 3.36 peratus untuk UPSR 2019 berbanding pencapaian pada tahun 2018.

Menurut beliau,seramai 19,884 orang calon (66.18 peratus) Sekolah Kebangsaan (SK) 2019 mencapai tahap penguasaan minimum berbanding 62.44 peratus pada tahun 2018.

“Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan, seramai 6,041 orang calon (61.81 peratus) telah mencapai tahap penguasaan minimum pada 2019 berbanding 59.65 peratus pada 2018.

“Peningkatan pencapaian tahap minimum UPSR 2019 bagi Sekolah Kebangsaan adalah sebanyak 3.74 peratus manakala bagi Sekolah Jenis Kebangsaan sebanyak 2.16 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuching hari ini.

Seramai 39,818 orang calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menduduki UPSR di Sarawak.

“Daripada jumlah itu, seramai 30,044 (75.45 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan dan seramai 9,774 orang (24.55 peratus) adalah calon Sekolah Jenis Kebangsaan,” jelas beliau lagi.

UPSR telah dijalankan pada 4 hingga 5 September dan 10 hingga 12 September di 1,285 buah pusat peperiksaan seluruh Sarawak.

Keputusan UPSR 2019 diumumkan di seluruh negara pada hari ini mulai jam 10 pagi.