Malaysia Dateline

Penguatkuasaan larangan merokok: 61 notis dikeluarkan  di Sarawak

Sarawak telah mencatat sebanyak 61 notis kesalahan larangan merokok di semua tempat makan yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu di seluruh negara.
Notis kesalahan tersebut telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri(JKN) Sarawak.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim, jumlah berkenaan adalah hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak bermulanya penguatkuasaan 1 Januari lalu.
Katanya,  seramai 207 anggota dan pegawai Penguatkuasa daripada JKN Sarawak telah terlibat dalam penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan di negeri ini.
“Penguatkuasaan yang dijalankan pada hari pertama, sebanyak 44 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d), iaitu kesalahan individu yang merokok.
“Sementara pada 2 Januari 2020, seramai 186 orang anggota Pegawai Penguatkuasa  JKN Sarawak telah terlibat dalam penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan yang mana sebanyak 17 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah peraturan yang sama,” katanya dalam kenyataan di Kuching hari ini.
Dr Jamilah berkata, daripada jumlah notisyang dikeluarkan pada hari pertama, tiga notis kesalahan lagi telah dikeluarkan kepada pemilik premis, iaitu satu notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda dilarang merokok dan dua notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu menyediakan kemudahan merokok.
Jelas beliau, satu notis kompaun telah dikeluarkan kepada seorang pelajar sekolah di bawah peraturan 13(1) iaitu Orang Belum Dewasa (OBD) yang merokok, mengunyah, atau membeli rokok dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun adalah sebanyak RM11,800 dicatatkan pada hari pertama penguatkuasaan larangan tersebut.
Tegasnya lagi, bagi jumlah notis yang dikeluarkan pada hari kedua,  tujuh notis kesalahan telah dikeluarkan kepada pemilik premis, iaitu enam notis kesalahan kerana gagal mempamerkan papan tanda dilarang merokok dan satu notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun adalah sebanyak RM6,000.
“Mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250.
“Bagi yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah dalam tempoh  sebulan daripada tarikh izin kompaun diterima,” ujarnya.
Dr Jamilah memberitahu,  bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.
Katanya, kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.
“Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan akan diambil tindakan mahkamah dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” tambah beliau.
Beliau turut memaklumkan, di bawah Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b), pemilik premis yang menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan.
“Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan, di bawah Peraturan 12(1)(a) akan diambil tindakan mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
“Justeru,  di bawah Peraturan 12(1)(b) pula, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai terutamanya mereka yang merokok supaya memberi kerjasama agar sentiasa mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terutamanya yang bukan perokok dapat dilindungi.
Untuk maklumat lanjut, mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400.