Malaysia Dateline

Penguatkuasaan PKP di Sarawak semakin diperketatkan

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak semakin diperhebat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelang Fasa 2 arahan ini yang berkuatkuasa bermula semalam 1 April sehingga 14 April 2020.

Walaupun berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, anggota PDRM dan ATM terus komited melaksanakan tugasan mereka bagi memastikan orang ramai terus mematuhi arahan PKP.

Tinjauan mendapati pihak polis bersama tentera terus mengadakan sekatan jalan raya pada setiap hari bagi meminimakan pergerakan penduduk setempat di samping kebanyakan premis perniagaan mengambil langkah pencegahan seperti memastikan ‘social distancing’ dipraktikkan dan penggunaan ‘hand sanitizer’ diwajibkan kepada pengunjung premis.

Di lokasi sekatan jalan raya PDRM-ATM yang terletak di hadapan Stesen Shell di Jalan Tun Abdul Rahman Yakup, Kuching, kelihatan anggota polis dan tentera yang bertugas mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) semasa melakukan pemantauan.

Mereka juga turut membuat pemeriksaan teliti kepada orang ramai yang melalui sekatan jalan raya serta menasihati agar mereka tidak keluar tanpa tujuan mendesak seperti keperluan ketua keluarga untuk membeli stok barangan makanan di rumah.

Selain itu, pemeriksaan juga dilakukan terhadap mereka yang turun untuk bertugas dan bekerja dengan syarat perlu memiliki surat pengesahan berupa arahan daripada majikan masing-masing.

Semalam pula, dimaklumkan lapangan di Miri mendapati pihak polis dan tentera telah mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Piasau iaitu berhampiran dengan Kenyalang Supermarket, Miri.

Menariknya, terdapat individu tempatan yang bermurah hati menyumbangkan ‘face mask’ kepada anggota yang bertugas di lokasi sekaran jalan raya tersebut sebagai tanda penghargaan dan memberi sokongan kepada usaha ‘frontliners’ mencegah penularan wabak Covid-19.

Sementara di Sibu, petugas sekatan jalan raya di Simpang Sibu- Bintulu (Batu 12 ½) diberikan taklimat ringkas berkaitan tatacara yang betul semasa pelaksaan operasi ketika pertukaran syif petugas.

Mereka turut dinasihatkan agar menjaga jarak sosial ketika bertugas terutamanya apabila berinteraksi dengan pengguna jalan raya sebagai langkah keselamatan diri semasa wabak Covid-19 ini.

Rata-rata pengguna media sosial menghargai kesediaan pihak polis dan tentera menjalankan tugas semasa tempoh PKP ini walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca panas terik serta menghadapi karenah sesetengah orang awam yang menggunakan pelb agai alasan untuk keluar tanpa alasan munasabah sepanjang penularan Covid-19 ketika ini.