Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Seri Ahmad Maslan akan didakwa di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru dan Ahli Parlimen Pontian ditahan awal pagi hari ini di Ibupejabat SPRM di Putrajaya selepas mereka hadir untuk melengkapkan siasatan.
Menurut SPRM Shahrir dan Ahmad masing-masing bakal menghadapi satu dan dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“SPRM telah mendapat izin mendakwa bagi menuduh Tan Sri Shahrir Abd Samad dan Datuk Seri Ahmad Maslan pada 21 Januari 2020, pukul 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM. Kesemua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan.,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini kedua-dua mereka dikaitkan menerima wang daripada bekas perdana menteri Datuk Semi Mohd Najib Razak, yang sumber dananya didakwa disalahgunakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).