Malaysia Dateline

Pengugut tembak, santau didesak mohon maaf terbuka

Selepas membuat laporan polis berhubung ugutan tembak dan santau di Facebook, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan memberitahu salah seorang daripada pengancam itu telah memohon maaf semalam.

Walau bagaimanapun, beliau menuntut supaya Shahriman Kadir mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf secara terbuka di laman sosial individu berkenaan yang mula-mula menulis komentar tersebut iaitu kumpulan Facebook IRDK.

“Permohonan maaf itu perlu dilakukan bagi menutup isu ini (ugutan) dan saya akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat terhadap beliau,” ujarnya.

Hazmi berkata, beliau tidak berminat untuk memanjangkan perkara tersebut tetapi permohonan maaf secara terbuka itu mesti dibuat sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Terdahulu, Shahriman dalam komentarnya akan mengenakan ilmu sihir santau dan menembak sesiapa yang mengaitkan nama bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdapat tiga ugutan tembak daripada pengguna kumpulan Facebook IRDK terhadap Hazmi.

“Saya kalau orang main parti guna Tok Guru (Nik Aziz) memang saya santau. Kalau bolehlah, ada pistol saya bedil (tembak) lagi.

“Ingat Ming (Hazmi), ATGNA (Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz) ni anak saya tiga orang dia cukur jambul,” ujarnya sebagai reaksi terhadap tulisan Hazmi bertajuk, ‘Semoga nama Almarhum Tok Guru terus hidup’.

Selain Shahriman, seorang lagi pengguna Facebook, Yusnira Yus turut mengancam keselamatan Hazmi dengan ugutan tembak.

Sehubungan itu, Hazmi membuat laporan polis pada 8 Disember lalu tetapi pada 9 Disember sekali lagi menerima ugutan yang mengancam nyawa daripada seorang bekas polis, Ghazli Mamat.

Ini bererti Hazmi menerima tiga ugutan iaitu ‘makan peluru’, ‘santau dan bedil (tembak)’ serta ‘bedil dengan peluru hidup’.

“Saya hanya menulis tentang kebaikan dan kebijaksanaan politik almarhum Tok Guru juga disertakan contoh bagaimana almarhum berpolitik dengan DAP.

“Saya akan menyerahkan perkara ini kepada peguam dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan. Namun, terbuka untuk memaafkan kepada yang mengugut sekiranya mereka meminta maaf secara terbuka,” jelasnya.

Mengulas trend ugutan sehingga mencapai tahap jenayah yang mengancam nyawa, Hazmi memberitahu, keadaan tersebut berlaku akibat sikap taksub.

“Wujud kecenderungan pihak tertentu yang ingin menutup cara politik almarhum Tok Guru juga menolak dan anti kepada perbezaan pandangan.

“Apabila mati hujah, guna serangan peribadi atau fizikal,” ujarnya lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.