Malaysia Dateline

Pengukuhan parti mesti seiring dengan dana, jentera

Aspek pengukuhan organisasi menjadi tumpuan perbahasan Perwakilan Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed hari ini.

Menurut Timbalan Pengerusi AMANAH pengukuhan organisasi tidak semata-mata melalui aspek tarbiyah tetapi mesti seiring dengan pengukuhan dasar-dasar kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya kepimpinan memberi perhatian terhadap aspek dana dan jentera.

“Walaupun kita ada jentera tapi tanpa dana, bagaimana? Ibarat ada kereta, tiada minyak.

“Dulu (di Kelantan) jentera parti mudah, Pas dulu panggil guru Pasti dan peserta Ladang Rakyat. Umno pun ada jentera (melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan).

“Sekarang, nak panggil MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung)? MPKK masih berbalah lagi walaupun kita (Pakatan Harapan) memerintah dua tahun,” tempelaknya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepentingan jentera dalam usaha mencapai pengukuhan organisasi.

“Jadi, rakyat tanya di mana jentera? Tanpa jentera bagaimana parti mahu dikukuhkan,” tegasnya semasa Perbahasan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC, Shah Alam pagi ini.

Ustaz Che Ibrahim turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan PH tidak memanfaatkan ruang ketika berkuasa seperti dilakukan BN di peringkat kerajaan pusat dan Pas dalam kerajaan negeri.

“Bila parti pemerintah masih miskin, adakah kerana kita gagal mengumpul dana memanfaatkan kedudukan dalam kerajaan?

“Selagi kita gagal maka hasrat untuk pengukuhan organisasi tidak tercapai” tegasnya lagi.