Malaysia Dateline

Pengumuman bantuan Muhyiddin tidak mampu tutup kelemahan PN tangani Covid-19

Pengumuman Bantuan Khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara langsung semalam susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini tidak mampu untuk menutup kelemahan pentadbirannya dalam membendung penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam siri kenyataan #kerajaangagal hari ini, pengumuman tersebut tidak menyentuh langsung mengenai kegagalan kerajaan Perikatan Nasional dalam peperangan melawan wabak tersebut.

Malah, katanya Muhyiddin tidak menggunakan peluang untuk menyatakan jalan penyelesaian bagi mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap cara kerajaan menangani krisis kesihatan ini.

Tambahnya, kerajaan PN juga masih gagal memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat”.

“Ini termasuk kegagalan dalam melaksanakan Langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisien untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini serta Pemecutan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya memandangkan terdapat pelbagai variasi baharu yang berbahaya,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, Kit Siang berkata, negara menunjukkan prestasi yang buruk dalam membendung wabak itu.

Malaysia berada di kedudukan ke-39 antara negara di dunia dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi, dengan 572,358 kes Covid-19 dan 2,796 kematian.

“Untuk 20 hari berturut-turut, kita telah menewaskan Indonesia dalam peningkatan kes baharu Covid-19.

“Lebih mengejutkan, untuk julung-julung kalinya, kita telah menewaskan Amerika Syarikat dalam peningkatan kes baharu Covid-19, dengan Amerika Syarikat mencatatkan hanya kira-kira 75 peratus daripada 6,824 kes baharu Covid-19 yang direkodkan di Malaysia semalam.

“Malaysia dan India adalah dua negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam bulan Mei 2021 menurut Bloomberg Covid Resilience Ranking – Malaysia turun 15 anak tangga ke tangga ke-35 dan India turun 20 anak tangga ke tangga ke-50 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi melebihi paras AS$200 bilion,” ujar Kit Siang.

Pada masa sama beliau berkata, tindakan terkial-kial kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh dan perubahan saat akhir prosedur operasi standard berkaitan surat kebenaran Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) juga tidak membantu memulihkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

Beliau justeru menggesa agar Muhyiddin bertindak segera dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil sidang Parlimen.

Katanya, pembukaan Parlimen membolehkan penerapan strategi dan pendekatan “keseluruhan masyarakat” dan “keseluruhan kerajaan” bagi melawan pandemik Covid-19.