Malaysia Dateline

Pengumuman KPM buka sekolah: 30 peratus murid terkapai, 70 peratus lagi terabai

Keterujaan rakyat jelata khususnya guru dan ibubaba terhadap pelantikan YB Dr.Radzi Jidin selaku Menteri Kanan Pendidikan (MKP) buat kali kedua setelah YB Pagoh meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 merosot setelah pengumuman pengoperasian sekolah pasca pandemik diumumkan 12 September yang lalu.

Harapan dan semangat yang diharapkan oleh ibubapa dan guru untuk melihat sebuah perancangan yang lebih holistik dan menyakinkan semua pihak gagal ditemukan dalam siri-siri pengumuman MKP sejak menduduki semula kerusi tersebut.

Harapan ibubapa dan guru amat tinggi setelah melihat wabak pandemik Covid-19 melanda dan pelaksanaan PKP yang begitu panjang merencatkan proses pembelajaran anak-anak.

Ibubapa mula risau apabila melihat anak mereka tidak minat lagi untuk belajar atau putus harapan terhadap sistem pendidikan yang mereka ikuti. Kecenderungan ini dibuktikan apabila makin hari jumlah murid yang menyertai PdPR semakin merosot manakala proses aktiviti dua hala antara murid dan guru tidak dapat dijalankan.

Bagi pihak guru pula, walaupun mereka perlu akur dengan setiap arahan KPM, namun sebagai manusia biasa, mereka juga mengalami turun dan naik prestasi dalam kerja mereka. Tambahan pula, kaedah atau pedagogi yang perlu digunakan semasa PdPR bukanlah kaedah yang mereka belajar semasa membentuk jati diri sebagai seorang guru di IPG mahupun IPT.

Sampai satu masa, dengan bebanan kerja pelaporan yang meningkat 50% berbanding semasa bersemuka, jumlah penyertaan murid dalam PdPR semakin merosot dan tiada kepercayaan antara pihak guru dengan pihak atasan seperti pentadbir,PPD dan JPN menyebabkan moral dan semangat guru-guru menjadi tepu dan lemah.

Adanya sebuah ikrar baru MKP dalam kerajaan Keluarga Malaysia ini, maka ibubapa dan guru memberi seribu harapan untuk melihat sebuah polisi atau perancangan yang menyeluruh daripada KPM tentang kemanakah akan dituju sebagai sebuah nakhoda pendidikan ini?

Kelegaan akan tercapai dari pihak ibubapa setelah melihat pendidikan anak-anak mereka mampu dipulihkan dan dilaksanakan sesegera mungkin tanpa mengorbankan nilai kesihatan mereka. Guru pula mahu melihat seorang MKP dan dasar KPM yang mahu memberi kepercayaan kepada guru untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa ada sebarang bebanan melampaui batas guru biasa.

Kesemuanya meleset apabila MKP membuat pengumuman minggu lalu terkait dengan pengoperasian buka sekolah mulai 3 Oktober 2021. Apa yang penulis lihat, kegagalan MKP menyampaikan maklumat tentang pengoperasian buka sekolah ini secara jelas menjadi satu tanda awal impak negatif persepsi ibubapa dan guru kepada MKP dan pengumumannya.

Buktinya, ramai guru hanya mampu berkongsi data atau bahan pengumuman tersebut sahaja di media sosial masing- masing namun tidak memahami secara lengkap apa yang ingin disampaikan.

Ada juga guru yang hanya melihat kepada keputusan yang melibatkan pihak mereka sahaja, contoh guru itu mengajar di negeri fasa 3, jadi guru itu hanya baca atau dengar tentang pengumuman buka sekolah di negeri fasa 3 sahaja, isu atau bahagian lain tidak didengari kerana begitu rumit untuk difahami.

Selain itu, tanda yang pengumuman itu gagal difahami oleh rakyat jelata apabila MPK sendiri melalui laman sosialnya terpaksa membuat penjelasan susulan berbentuk video tentang pengumuman buka sekolah awal Oktober ini kerana ramai ibubapa dan guru salah faham.

Setelah pengumuman dibuat, hanya pakar-pakar dalam bidang pendidikan dan ahli politik yang mendapat keluhan ibubapa dan guru sahaja memberi komen dan reaksi mereka terhadap pengumuman itu. Ini kerana mereka dapat melihat apakah bebanan baru yang bakal muncul daripada pengumuman itu.

Antaranya KPM telah mengumumkan sekolah di negeri fasa 4 akan sekolah secara bersemuka dan bergilir-gilir mulai 3 Oktober ini, namun KPM menegaskan jika ibubapa tidak membenarkan anak mereka bersekolah maka murid dibenarkan untuk tidak hadir.

Persoalan yang timbul adalah bagaimana dengan proses pembelajaran murid yang tidak perlu hadir ke sekolah atas kebenaran ibubapa ini? Adakah mereka tidak akan belajar atau guru perlu menyediakan dua kaedah iaitu secara bersemuka dan PdPR untuk murid yang tidak hadir sekolah?

Jika ini berlaku, maka penulis melihat bebanan guru semakin bertambah, ayat pasarnya ‘ Kalau kena buat dua kerja macam itu, baik semua PdPR sahaja!!’

Ini ketidakpastian yang KPM dan MKP tidak jawab, malah membiarkan persoalan itu dimainkan setiap hari. Yang menjadi masalah adalah ibubapa yang perlu membuat keputusan dan guru yang sedang menanti bebanan baru. Penulis juga memetik pandangan daripada pakar pendidikan dari IPTA yang menyatakan tentang penggiliran murid secara dalam kelas dimana dalam setiap kelas, akan dibahagikan kepada 2 bahagian, satu bahagian bersemuka dan satu bahagian lagi PdPR dirumah.

Kaedah ini kata pakar tersebut amat tidak realistik. Masalah ini akan timbul apabila guru yang sama terpaksa mengulang semula sukatan yang diajar kepada kumpulan pertama yang sudahpun bersemuka minggu sebelumnya. Mengapa KPM tidak membuat penggiliran mengikut kelas atau tahun, dimana kelas A akan bersekolah, kelas B direhatkan? Ini lebih munasabah.

Selain itu, KPM juga telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan 2021 yang sepatutnya tamat pada Disember 2021 dianjakkan kepada bulan Mac 2022. Persoalan yang timbul adalah, mengapa KPM perlu menganjakkan sesi tersebut sedangkan sekarang walaupun murid tidak bersekolah, PdPR telah dilaksanakan untuk menggantikan pembelajaran secara bersemuka. Ia ibarat murid langsung tidak belajar apa-apa sedangkan PdPR berjalan. Adakah KPM tidak menyakini keberkesanan PdPR yang dilaksanakanoleh guru-guru?

Atau KPM memang telah akui bahawa PdPR versi Malaysia harini memang tidak memberi impak yang baik pada murid kita? Oleh itu, KPM terpaksa menganjak sesi kepada bulan Mac 2022 supaya guru-guru dengan cara bersemuka boleh mengulang semula pelajaran yang diajar semasa PdPR. Begitu?

Terkait dengan isu PdPR ini, penulis mahu menegaskan bahawa pengumuman operasi buka sekolah oleh MKP dan KPM hanyalah melibatkan 30% sahaja daripada keseluruhan murid di negara kita.

Hal ini kerana, sekolah yang dibuka melibatkan negeri yang telah memasuki fasa 4 pemulihan serta beberapa kategori terpencil di negeri yang memasuki fasa 2 dan 3. Sedangkan murid terbesar adalah daripada sekolah arus perdana dan daripada negeri fasa 1,2 dan 3 melibatkan negeri yang banyak berbanding fasa 4. Ertinya buat masa ini atau selepas Oktober 2021, 70% murid di negara kita masih menjalani proses PdPR seperti sebelum-sebelum ini.

Malah mereka tidak terkesan langsung dengan pengumuman MKP tempoh hari. Penulis menantikan juga adakah pengumuman atau tindakan susulan yang diambil oleh pihak KPM untuk memberikan tumpuan kepada isu PdPR melibatkan jumlah murid yang ramai.

Namun tiada. Sedarkah KPM dan khususnya MKP bahawa betapa banyak masalah dan kekurangan yang dialami semasa PdPR dijalankan. Penumpuan kepada proses pembelajaran secara dalam talian semata-mata menyebabkan murid telah menjadi lesu untuk mengikutinya.

Guru-guru juga telah hilang motivasi akibat kegagalan KPM dan MKP mengenalpasti dan melaksanakan dasar mesra guru sedangkan pada waktu pandemik ini guru perlu dijaga sebaik mungkin bagi memastikan mereka terus mendidik anak bangsa dengan cara mereka sendiri.

Kegagalan KPM membina sebuah dasar atau polisi lengkap terkait dengan PdPR mengakibatkan sepanjang tempoh PdPR ini, segala-galanya menjadi sia-sia semata-mata. Bagi mereka, perekodan yang lengkap dan kemas menjadi keutamaan mereka berbanding mencapai objektif pembelajaran dan menuju falsafah pendidikan negara.

Kesimpulanya, 30 perataus murid yang akan dan perlu bersekolah secara bersemuka pada 3 Oktober ini menuju ketidakpastian yang nyata apabila tiada SOP yang lengkap untuk meyakinkan ibubapa supaya anak mereka hadir ke sekolah.

Buat masa ini, JPN,PPD dan pentadbir sekolahlah yang terpaksa merangka kerja ini. Lebih baik KPM menurunkan kuasa mereka kepada JPN dan PPD serta pentadbir untuk menguruskan sekolah seperti cadangan seorang wartawan ketika pengumuman MKP tempoh hari kalau hakikatnya, JPN,PPD dan pentadbir perlu merangka hal ini sendiri.

Manakala 70 peratus lagi murid yang sepatutnya menjalani proses PdPR akan terus terabai akibat tiadanya sebuah usaha untuk mengemaskini dan memperbaiki masalah PdPR yang dialami dalam negara kita.

Seribu kali sayang wahai negara ku.

*SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN merupakan AJK Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional dan Sekreatriat Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH).