Malaysia Dateline

Pengumuman MB Kedah, konsesi balak dibuka, membimbangkan

Pengumuman Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor untuk mempertimbangkan bagi membuka semula konsesi balak yang pernah dibatalkan Pakatan Harapan (PH) adalah membimbangkan, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kata beliau, sekiranya pembalakan dibenarkan ia akan menjadikan bukit-bukit menjadi botak, wujudnya kuari dan ia adalah penyumbang utama kepada berlakunya kejadian banjir.

“Di kawasan saya ada Hutan Simpan Gunung Bongsu. Diwarta sebagai Hutan Simpan oleh British lagi.

“Pada tahun 2008-2013, masa tu MB Kedah sekarang jadi setpol MB, Kerajaan Kedah telah membatalkan pewartaan sebahagian kawasan hutan simpan ini dan dibenarkan membalak.

“Pembalakan juga berlaku di Gunung Inas.

“Hasilnya? Masalah banjir yang tak berkesudahan. Sungai jadi cetek tak mampu tampung aliran air ketika hujan lebat. Kehidupan harian penduduk terjejas,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Jelas bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, beberapa kawasan di negeri Kedah merupakan kawasan terdedah (hotdpot) kepada berlakunya banjir.

Antaranya kata beliau, ialah Kampung Paya, Ulu Manang, Kampung Seri Bongsu, Daerah Kulim, Terap Batu 10 dan Sungai Kob.

Sehubungan itu beliau berharap MB Kedah yang belum sampai dua minggu memegang jawatan MB itu agar tidak meneruskan polisi berkenaan.

Memetik laporan portal Berita Harian Online, Sanusi berkata, langkah untuk membuka semula konsesi balak itu adalah untuk mengelakkan kerajaan negeri daripada membayar tuntutan hampir RM1 bilion yang dikemukakan oleh 40 buah syarikat pembalakan sebelum ini.

“Tuntutan itu agak besar, jadi kalau boleh diganti tempat (kawasan pembalakan) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, kita akan ganti.

“Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan,” katanya semalam.