Malaysia Dateline

Pengumuman Najib tidak selesai beban hutang peneroka

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kesal terhadap penafian Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad mengenai jumlah sebenar hutang peneroka Felda.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, isu timbunan hutang peneroka adalah sesuatu yang diketahui umum dan seharusnya Shahrir selaku pengerusi Felda beroleh gambaran tepat mengenai jumlah hutang 94,956 orang peneroka.

“Jumlahnya bukan sahaja mencecah RM100,000 seperti disebut mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di Kota Tinggi pada 15 Julai lalu, bahkan Anak boleh buktikan di sesetengah Felda sedang menghampiri RM170,000.

“Apabila hutangnya besar, tempoh membayar balik memakan masa hingga 20 tahun. Kadangkala, belum merasa lega atau merdeka dari bebanan hutang, proses tanam semula berikutnya bermula, di mana hutang baru khususnya pinjaman sara hidup antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan dibuat hingga tempoh 7-8 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrir baru-baru ini dilapor menafikan kenyataan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ramai peneroka menanggung hutang lebih RM100,000 seorang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam tidak akan menyelesaikan derita dan sesngsasar peneroka mengenai bebanan hutang yang terlau tinggi.

Najib semalam mengumumkan pelupusan hutang bernilai RM5,000 seorang peneroka dan dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula berjumlah RM300 juta bagi tempoh lima tahun antara 2017-2021, bagi melupuskan hutang kos operasi, melebihi jangkaan RM40,000.

Cadangan Anak

Justeru Anak mencadangkan Felda melupuskan hutang peneroka sekurang-kurangnya 50 peratus seperti dalam penyata kos tanam semula; memansuhkan faedah 6.25 peratus atas pinjaman seperti dalam perjanjian tanam semula; mengkaji semula terma hutang pembangunan ladang seperti baja ( mahal tetapi didakwa tidak berkualiti), kos penyelenggaraan ladang dan pinjaman persendirian seperti pembesaran rumah yang mengenakan kos perkhidmatan 2.5 peratus.

Anak juga mencadangkan Felda mempercepat proses tanam semula dari kerja penebangan, penyediaan tapak nurseri, menanam benih dan penyelenggaraannya kerana proses tanam semula yang lambat dan tidak efisien menyebabkan kos sara hidup meningkat.

“Adakah Shahrir maklum, ada kes yang diadukan kepada saya, beserta penyata yang dilampirkan, ada peneroka yang terpaksa menanggung kos faedah atas pinjaman sahaja bernilai RM47,000,” katanya.

Sementara itu, Anak sependapat dengan pengumuman Najib mengenai pembentukan geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda hingga tahun 2020.

Beliau berkata, ia diperjuangkan Anak sekian lama dan perjumpaan dengan pengurusan MPOB pun telah dibuat sebelum ini namun mempersoal tempoh sehingga 2020 sahaja.

Mazlan juga mengingatkan Shahrir, selagi isu hutang dan pendapatan peneroka tidak ditangani secara menyeluruh dan mekanisme yang betul, gesaan terhadap 17,000 peneroka felda yang melaksanakan kebun secara bersendirian, agar kembali bersama Felda, dalam tempoh enam bulan ini tidak akan berkesan.

“Jika mereka bebas dari hutang dan beroleh pendapatan lebih baik, apa alasan untuk mereka bersama Felda?

“Seharusnya, kerajaan berterima kasih kepada 17,000 orang peneroka ini yang hakikatnya memenuhi hasrat dan dasar Felda ditubuhkan.

“Mereka tidak perlu terus menerus bergantung kepada Felda. Jika pun ada masalah penyelenggaraan kebun, beri khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang sepatutnya,” katanya.

Tegas beliau, tindakan mengasingkan mereka dan dinafikan dari mendapat sebarang insentif adalah suatu diskriminasi dan tindakan kejam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hak asasi yang dijamin perlembagaan persekutuan.

“Anak mendesak Shahrir, jangan diteruskan amalan tidak demokratik seperti dilakukan Isa Samad.

“Akuilah pandangan pihak lain termasuk parti pembangkang. Anak yakin enam insentif yang di umumkan Perdana Menteri ada kaitan dengan kebimbangan terlepasnya 54 Parlimen yang ada Felda di dalamnya, pada PRU14 akan datang.

“Anak dan NGO-NGO lain bersedia mengadakan perbincangan demi kebaikan bersama,” katanya.