Malaysia Dateline

Pengumuman Takiyuddin: Apa pendirian Ahli Parlimen Umno?

Ahli-ahli Parlimen UMNO digesa menyatakan pendirian berhubung isu pengumuman berkaitan darurat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen Isnin lalu.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, sekiranya keputusan tersebut diambil dalam mesyuarat Jemaah Menteri, yang ramai pemimpin UMNO turut hadir, maka ahli-ahli Parlimen parti itu perlu menyatakan pendirian masing-masing.

“Sekiranya UMNO tidak setuju dengan pengumuman Menteri (Takiyuddin) pada hari Isnin, kenapa mereka tidak ambil sebarang tindakan sehingga semalam?

“Saya terdengar lagi ada Ahli parlimen UMNO mengejek ketika itu bahawa pembangkang terperangkap kerana bangkit isu darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin lalu, Takiyuddin dilaporkan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan berkuatkuasa 21 Julai lalu.

Semalam, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Shu Qi berkata, amat jelas bahawa negara sekarang berdepan dengan satu krisis Perlembagaan dengan pengumuman Takiyuddin tersebut.

“Apa yang kita minta adalah satu perbahasan dan undi dalam sidang parlimen supaya satu keputusan diambil melalui proses demokrasi.

“Adakah ini satu permintaan terlalu sukar bagi Kerajaan Perikatan Nasional di mana ramai pemimpin UMNO juga duduk dalam Jemaah Menteri?” soalnya.