Malaysia Dateline

Pengundi 18, daftar pemilih automatik dilaksana selepas September 2022

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia memaklumkan pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan pengundi 18 tahun dijangka dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh tersebut setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

“SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

“Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya.

Abdul Ghani Salleh

“Walau bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu berkuatkuasa 21 Ogos tahun lalu.

Dalam masa sama, SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan.

“Berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.

“Daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang. Manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih,” katanya.

Abdul Ghani turut memberitahu pihaknya akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada bulan Ogos 2021 bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.

“SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18.

“Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada bulan September 2021,” katanya lagi.