Pengundi Cina, atas pagar sokong BN dan Amanah, kata Inmind

Pengundi Cina, atas pagar sokong BN dan Amanah, kata Inmind

Institut Perkembangan Minda (Inmind) meramalkan majoriti pengundi Cina dan pengundi atas pagar pada Pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) dan Amanah.

Sokongan pengundi Cina kepada calon BN pula diramalkan akan bertambah manakala majoriti pengundi Cina akan memihak kepada calon Amanah berbanding Pas.

Pengerusi Inmind, Datuk Salamon Selamat berkata, sokongan pengundi Cina terhadap calon BN bertambah melihat kepada gerak kerja parti komponen MCA dan Gerakan di dua kawasan parlimen itu diadakan.

“Di Sungai Besar, bagi pengundi atas pagar mereka mempunyai pilihan sama ada mahu memberi undi pada BN, Amanah atau Pas berbanding dalam PRU13 lalu, hanya berlaku pertandingan dua penjuru antara BN dan Pas.

“Melihat gerak kerja parti komponen seperti MCA dan Gerakan lebih berkoordinasi kali ini untuk memenangi hati pengundi Cina dan pengundi atas pagar berbanding dalam PRU13 lalu.

“Saya yakin pengundi Cina yang dulunya menyokong BN akan terus kekal kepada BN. Manakala BN akan mendapat lebih sokongan pengundi Cina atas pagar ekoran perpecahan dalam Pas dan Amanah,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Melihat kepada situasi di Sungai Besar ujarnya, bagi calon Amanah dan Pas pula pengundi cina dan pengundi atas pagar lebih memihak kepada calon Amanah.

“PRK kali ini semua parti bertanding akan memberi fokus untuk memperoleh undi daripada pengundi atas pagar.

“Sudah pasti penyokong tegar DAP akan mengundi Amanah.

“Saya rasa majoriti pengund Cina atas pagar juga akan sokong Amanah,” ujarnya.

Salamon juga berkata, kriteria calon parti bertanding amat penting pengaruhi sokongan pengundi Cina dan pengundi atas pagar.

Selain itu, isu negeri dan tempatan memainkan peranan untuk menarik sokongan pengundi Cina dan pengundi atas pagar.

“Kebanyakan pengundi lebih menjurus kepada isu tempatan dan negeri.

“Oleh itu kebanyakan calon perlu peka dengan isu tempatan dan negeri seperti di Selangor ini dilihat tidak mantap.

“Dalam PRK ini tiada parti yang mewakili kerajaan negeri iaitu PKR apabila Amanah yang dipilih meletakkan calonnya.

“Sedangkan parti yang mewakili kerajaan negeri adalah PKR bukan Amanah. Amanah hanya dalam Pakatan Harapan tetapi tidak berada dalam kerajaan.

“Ini masalah besar Azmin (Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) untuk menggerakkan jentera kempen dan mendapat sokongan pengundi untuk mengukuhkan Pakatan Harapan.

“Jadi di kalangan pengundi Cina dan pengundi atas pagar mereka akan melihat sentimen yang berlaku ini,” ujarnya.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pas Dr Rani Osman, calon BN Budiman Mohd Zohdi, dan calon Amanah Azhar Shukur.

Manakala di Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad,calon BN Datin Mastura Mohd Yazid, calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Hari pengundian ditetapkan pada 18 Jun ini manakala pengundi awal membuang undi hari ini.

COMMENTS

Wordpress (0)