Malaysia Dateline

Pengundi Cina tidak beralih undi, jamin Muhyiddin

Walaupun mengakui pengundi Cina di Tanjung Piai tidak gembira dengan situasi semasa politik tetapi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin mereka yang membentuk 42 peratus pengundi di P.165 masih setia untuk memilih parti gabungan itu.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pengundi Cina agak tidak gembira dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup.

“Yang ini kita sedar dan umum ada sentimen tidak berapa positif. Tetapi mereka tidak akan ‘swing’ undi,” tegasnya.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Eco Rambah hari ini yang merupakan hari keenam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Terdapat 22,000 pengundi Cina iaitu 41.52 peratus daripada keseluruhan pengundi di wilayah yang terkenal dengan kawasan pelancongan, Taman Negara Johor Tanjung Piai di tanah penghujung benua Asia itu.

Pada PRU-14, PH menguasai 64 peratus sokongan pengundi Cina di kerusi itu berbanding 32 peratus diperoleh calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mewakili kawasan itu sejak dua penggal lalu.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu menguasai hampir separuh sokongan pengundi Cina di DUN Pekan Nenas serta sebahagian besar pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Melayu di DUN Kukup.

Wee juga adalah bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebelum tewas kepada penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, banyak pengundi mendakwa keadaan yang berlaku sejak tiga hingga empat tahun lalu adalah kesan pentadbiran teruk Barisan Nasional.

“Bukan zaman PH, ekonomi tidak boleh pulih sekelip mata. Bila PH ambil alih, saya bukan hendak cari dalih, supaya ingat balik setahun setengah tidak mungkin boleh pulih ekonomi terjejas 62 tahun,” ujarnya.

Beliau menambah undi Cina amat penting dan yakin apa yang PH lakukan akan memberi kesan dalam tiga dan empat tahun akan datang.

“Sudah hampir boleh ubah ekonomi negara. Mustahil pemilihan calon BN, Wee Jeck Seng akan mengubah situasi ekonomi.

“Tetapi calon PH, Karmaine Sardini sekarang akan mampu membantu kebajikan penduduk,” jamin Muhyiddin lagi.