Malaysia Dateline

Pengundi disaran semak maklumat daftar pemilih

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pengundi membuat semakan maklumat daftar pemilih terutama berkaitan nombor bilangan sebelum hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Jan ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata semakan boleh dibuat menerusi pelbagai saluran antaranya dengan melayari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018.

Selain itu, katanya, semakan juga boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi MySPR Semak atau menggunakan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAK Nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888.

“Bagi pengundi yang sudah mengetahui maklumat daftar pemilih, mereka tidak perlu membuat semakan di barung SPR.

“Catat, simpan dan bawa maklumat pusat mengundi, saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih semasa ke pusat mengundi dan tunjukkan kepada Kerani Pengundian Pertama. Ini akan membantu kelancaran proses pengundian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Berdasarkan rekod daftar pemilih SPR, bilangan pengundi Orang Asli adalah seramai 6,964 orang, mewakili 23 peratus pengundi di sana selain pengundi Melayu seramai 10,820 orang atau mewakili 34 peratus, Cina 9,524 (30 peratus) dan India 4,798 (15 peratus).

PRK Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran; Ramli Mohd Nor (Barisan Nasional) dan dua calon Bebas iaitu Sallehuddin Ab Talib serta Wong Seng Yee.

Hari pengundian awal PRK itu ditetapkan pada 22 Jan ini.

– BERNAMA