Malaysia Dateline

Pengundi jangan beremosi pilih wakil rakyat

Pengundi kawasan Tanjung Piai diharap untuk tidak beremosi dalam memilih wakil rakyat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 16 November ini.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pengundi dinasihat agar tidak terpengaruh dengan kempen-kempen mengetengahkan calon yang akhirnya tidak dapat berkhidmat untuk rakyat.

“Saya berharap supaya pengundi-pengundi di Tanjung Piai guna kebijaksanaan masing-masing.

“Jangan kita beremosi sangat di dalam kita memilih wakil rakyat kerana mereka lah yang akan bertanggungjawab menjaga kepentingan hal ehwal masyarakat mahupun pembangunan di kawasan itu.

“Jadi pilihlah wakil rakyat yang dijangka boleh memberi khidmat yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pusat Penamaan Calon Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Beliau berkata, penting untuk pengundi memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk masyarakat demi pembangunan kawasan mereka.

Malah katanya, sentimen perkauman juga tidak seharusnya digunakan dan diterima demi membentangkan satu politik matang dalam negara.

“Jangan gunakan PRK untuk hasut orang. Kita mesti membentangkan satu politik matang di tanah air kerana jika masih tersangkut dalam kepompong lama dengan menggunakan sentimen perkauman, sampai bila kita tak akan berjaya.

“Saya harap supaya pengundi fikir waras. Pilihlah wakil rakyat yang kita rasa yakin boleh beri khidmat yang baik untuk kita.

“Masa kempen memang ramai datang sini, tapi nanti selepas kempen, kita memerlukan wakil rakyat yang bertanggungjawab,” ujarnya.