Malaysia Dateline

Pengundi Johor diseru ambil pengajaran daripada PRN Melaka

Seramai 2,597,742 pengundi berdaftar untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diseru mengambil pengajaran daripada keputusan PRN Melaka apabila pihak yang mendapat peratusan rendah undi menjadi kerajaan.

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, walaupun BN menang dua pertiga bahkan dengan majoriti lebih besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, blok itu mendapat peratus sokongan pengundi yang rendah.

“PH menang lima kerusi (DUN), PN (Perikatan Nasional) dapat dua kerusi tetapi kalau kita lihat jumlah daripada lebih 300,000 pengundi, BN mendapat 122,000 undi, PH 114,000 undi, PN 74,000 undi.

“Kalau dilihat pada peratusan, BN dapat 38 peratus, PH 35 peratus, PN mendapat 24 peratus.

“Sebab itu, saya sebut dalam sidang DUN Melaka minggu lalu, walaupun saya Ketua Pembangkang, saya mewakili 62 peratus undi daripada rakyat,” ujarnya.

Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata demikian dalam Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) Johor kelmarin.

Pengundi Johor diseru ambil pengajaran daripada PRN Melaka
Mana-mana undi yang lari dari Pakatan Harapan akhirnya akan memenangkan BN.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya undi rakyat di Johor tidak berpecah bagi mengelak kemenangan berpihak kepada BN.

“BN yang jadi kerajaan mendapat 38 peratus daripada undi rakyat. Mengapa 38 peratus jadi kerajaan sebaliknya 62 peratus jadi pembangkang?

“Sebab apa? Kerana undi rakyat berpecah kepada dua iaitu PH dan PN,” katanya.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di kesemua 56 DUN sama seperti Barisan Nasional (BN) manakala Pakatan Harapan (PH) menghantar 30 calon diikuti PKR (20 calon) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) diwakili tujuh calon bertanding.

Pada masa sama, Pejuang mempertaruhkan 42 calon mnakala terdapat 16 calon Bebas.

Mengulas lanjut, Adly berkata, beliau yakin majoriti rakyat Johor menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin yang tidak mempunyai integriti.

“Persoalannya, sejauhmana rakyat Johor boleh menyatukan undi mereka untuk memenangkan rakyat Johor dan mengalahkan BN.

“Pengajaran daripada PRN Melaka ialah pesaing kepada BN ialah PH. Sebab itu, mana-mana undi yang lari dari Pakatan Harapan akhirnya akan memenangkan BN,” tegas Adly lagi.