Pengundi Kedah jangan terpedaya dakwaan DAP di belakang PH

Shameer bersama calon PH Parlimen Tasek Gelugor dan petugas di Sg Dua semalam selepas pogram walkabout.

Muhammad Shameer Miohamed Sulaiman

Pengundi di negeri Kedah diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Bashah bahawa DAP berada di belakang Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Bashah membuat dakwaan tersebut ketika melawat Dun Ayer Hangat, Langkawi kelmarin.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Pulau Pinang, Muhammad Shameer Miohamed Sulaiman ketika ditemui.

Menurut beliau beliau lagi, Ahmad Bashah seharusnya sedar bahawa di belakang PH bukan saja DAP, sebaliknya Bersatu, PKR dan AMANAH turut mendokong perjuangan yang sedang dilakar oleh PH.

Oleh kerana itu katanya, dakwaan bahawa DAP berada di belakang PH merupakan satu dakyah yang cuba memesongkan pengundi serta penyokong PH.

“Ketakutan pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti Ahmad Bashah membuktikan mereka terpaksa mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak benar.

“Gelombang dan tsunami rakyat termasuklah orang Melayu yang semakin menyerlah sejak kebelakangan ini amat membimbangkan Umno dan BN.

“Bimbang dan gentar sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang pada 9 Mei nanti, maka pelbagai bentuk serangan mereka halakan kepada PH, ” jelasnya lagi.

Tegasnya lagi, tidak dapat disangkal polisi yang sedang dilaksanakan oleh Umno dan BN amat ketara membebankan hidup rakyat.

“Cukai GST yang mereka kenakan amat menyulitkan kehidupan rakyat.

“Nilai mata wang yang semakin mengecil dan menyusahkan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah amat menakutkan Umno dan BN.

“Ekoran itu juga mereka mencuba satu demi satu tekanan bagi memastikan pengundi tidak memberi sokongan kepada PH menjelang PRU Rabu ini,” katanya.

Shameer bersama calon PH Parlimen Tasek Gelugor semalam.

Walau bagaimanapun tambah Shameer, rakyat sudah muak dan bosan dengan birokrasi dan kerenah bikinan Umno dan BN.

Yang jelas katanya, rakyat sedang menanti kedatangan 9 Mei dengan penuh debaran untuk mengisytiharkan kemenangan kepada kerajaan baru yang dipimpin oleh PH.

Sama ada Umno dan BN sedar atau tidak katanya, mereka sedang menghampiri hayat terakhir tidak lama lagi apabila PH berjaya dinobatkan sebagai sebuah kerajaan baru dengan menjadikan Umno dan BN sebagai pembangkang buat pertama kalinya.

CATEGORIES