Pengundi  Kuala Kangsar sambut baik kempen anak calon BN

Pengundi Kuala Kangsar sambut baik kempen anak calon BN

Anak-anak Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar menerima maklumbalas positif daripada pengundi di Parlimen Kuala Kangsar yang mencalonkan ibu mereka Datin Mastura Mohd Yazid.

Menurut Wan Emir Astar anak sulong Mastura,  lawatan ke Bekor  sangat istimewa kerana kawasan tersebut merupakan kawasan terakhir arwah bapanya berkunjung sebelum ke Sarawak.

“Selagi belum sampai pada hari mengundi, selagi itu kami akan berjumpa dengan pengundi kerana kami adalah penghubung antara ibu dan masyarakat di Kuala Kangsar pada ketika ini.

“Alhamdulillah, boleh saya katakan kami menerima maklumbalas positif kerana mungkin mereka masih teringatkan arwah papa yang kebetulan telah berkunjung ke sini sebelum arwah ke Sarawak,”ujarnya sebagaimana dipetik dari portal Peraktoday.

Seorang pengundi cacat penglihatan Ramlah Abd,Karim,76, di petik berkata, beliau akan terus menyokong Barisan Nasional (BN).

“Selagi saya masih celik, selagi itulah saya akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) kerana ia sudah menjadi darah daging saya,” ikrarnya.

Warga emas yang tinggal di Kampung Kubang Udang, Bekor di sini berkata lagi, beliau akan terus menyokong perjuangan BN di Parlimen Kuala Kangsar dengan mengundi calon parti itu, Datin Mastura pada 18 Jun ini.

“Banyak pembangunan yang telah dilakukan oleh wakil rakyat di sini termasuklah oleh Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

“Semua kemudahan sudah ada sehingga minta apa pun akan dapat. Sebab itu perjuangan saya tidak akan berubah. Saya akan tetap menyokong Umno dan BN sampai bila-bila,”ujarnya ketika diziarahi tiga oranganak Mastura hari ini dirumahnya.

Beliau turut berasa gembira apabila anak-anak arwah Wan Mohammad Khair-il Anuar itu mengikuti jejak langkah bapanya itu yang tidak kekok untuk bergaul dengan masyarakat setempat.

“Datuk Wan selalu datang ke kampung dan jika ada kenduri-kendara beliau akan hadir. Sikap ramahnya itu sangat menyenangkan sehinggakan beliau tidak segan-silu untuk terus ke dapur.

“Anak-anaknya juga mesra macam bapa dan ibu mereka. Saya harap mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka,”ujarnya.

Beliau telah menerima kunjungan daripada anak-anak Mastura iaitu Wan Emir Astar, Wan Iskandar dan Wan Mohammad Amar di rumahnya, hari ini.

Kunjungan dilakukan ini bersempena program Ziarah Ramadan itu di PDM Bekor, Wan Emir dan adik-adiknya menyampaikan sumbangan sebanyak 50 beg berisi barang makanan kepada penduduk kampung tersebut.

TAGS