Malaysia Dateline

Pengundi Melaka jangan sia-siakan isyarat kehadiran bekas TYT dalam kempen PH

Sudah beberapa hari berturut-turut bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob hadir dalam program kempen PH dalam PRN Melaka ini.

Kelmarin, beliau bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu hadir dalam program kempen PH di DUN Kuala Linggi dan hari ini pula di DUN Ayer Molek.

Kehadiran beliau hari ini disertai sama antaranya oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa.

Jika semalam, Mohamad Sabu tanpa berselindung menyebut kehadiran Tun Khalil yang juga bekas Menteri Besar Pahang dan menteri kerajaan persekutuan sebagai tanda sokongannya kepada PH dan memberi harapan cerah untuk mereka mencapai kemenangan pada 20 November nanti, semalam Mujahid juga melahirkan keyakinan yang sama.

“Ini menandakan satu isyarat yang positif kepada PH,” ujar beliau.

Sebagai bekas TYT atau Gabenor Melaka antara 2004 hingga 2020, kehadiran beliau bersama PH tentu juga menunjukkan betapa besar isyarat yang ingin dihantarnya kepada rakyat negeri itu menjelang hari pengundian pada 20 November ini.

Difahamkan juga, sehingga tempoh kempen berakhir pada malam Jumaat ini, beberapa lagi program kempen PH bakal dihadirinya.

Adalah tidak diragui bahawa kehadiran beliau dalam kempen PRN Melaka ini, apa lagi jika sehingga tempoh kempen berakhir beliau terus menunjukkan komitmennya, adalah semata-mata untuk melihat PH muncul mentadbir semula negeri tersebut.

Sekaligus juga bererti, Tun Khalil mahu Adly Zaharia kembali sebagai Ketua Menteri Melaka.

Memandangkan Tun Khalil adalah Gabenor Melaka ketika Adly menjadi Ketua Menteri selama 22 bulan sebelum ini, beliau tentu sedar tentang kemampuan dan kepimpinan baik yang ditunjukkan Pengerusi PH Melaka itu dalam mentadbir negeri tersebut.

Jika Adly bukan pemimpin yang baik, sebaliknya penuh dengan skandal, pasti mustahil beliau sanggup menyusahkan dirinya turun berkempen untuk PH dalam PRN Melaka ini.

Maknanya, walaupun berasal dari Pahang, tetapi kerana pernah menjadi Gabenor Melaka, rasa cinta dan keinginannya melihat rakyat negeri Hang Tuah itu terbela sentiasa ada dalam jiwanya.

Kepada pengundi Melaka, fahamilah maksud kehadiran Tun Khalil bersama PH dan jangan sia-siakan usaha murni beliau itu.