Pengundi merungut tidak boleh akses laman SPR ketika hari pengundian

Oleh KIM SYAZIE

Laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia dilaporkan tidak boleh diakses ketika hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima banyak rungutan daripada pengundi yang ingin membuat semakan lokasi pengundian, namun gagal.

“Pakatan Harapan menerima banyak aduan daripada rakyat terkait kegagalan untuk mengakses laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyemak tempat mengundi mereka sejak malam tadi”, kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata kepincangan ini amat mendukacitakan kerana SPR seharusnya melakukan segala persediaan untuk memastikan kelancaran proses pengundian.

Justeru, beliau mendesak agar SPR untuk segera memperbetul masalah ini.

Anwar bertanding di parlimen Tambun menentang calon Perikatan Nasional Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.